Pandangan Pihak Perisikan Terhadap Dakwaan Ada Pengintipan Perbualan SBY

Diterbitkan: Selasa, 30 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Berita tentang dakwaan berlaku pengintipan terhadap perbualan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, tidak mustahil merupakan sinergi antara negara komanwel, kata seorang bekas pemimpin sebuah badan perisikan di Indonesia.

"Kalau dilihat aktor politiknya adalah melibatkan Britain dan Australia, dan juga Amerika Syarikat, sangat mungkin memang ada kepentingan seperti itu," kata penganalisis politik Mej Jen (B) Glenny Kairupan kepada agensi berita Antara di Jakarta, pada Selasa.

Glenny ialah bekas perwira Direktorat B urusan luar negeri Badan Perisikan Stategik (BAIS) Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Berita tentang dakwaan berlaku pengintipan itu dilaporkan Sydney Morning Herald, pada Jumaat lalu, yang antara lainnya menyebut bahawa Perdana Menteri Australia Kevin Rudd mendapat keuntungan daripada kegiatan perisikan melalui pengintipan perbualan pada masa Sidang Kemuncak G20 di London pada 2009.

Menurut Glenny, pada prinsipnya komunikasi melalui udara boleh diintip namun kemajuan teknologi sekarang telah membolehkan 'jamming' dilakukan terhadap komunikasi pihak yang mengintip itu.

Glenny berkata berkata semasa era pemerintahan Presiden Soeharto, keselamatan berhubung perbualan rahsia dan penting oleh seorang ketua negara dilakukan oleh BAIS, bagaimanapun beliau tidak pasti sama ada peranan itu masih diteruskan pada masa ini.

Staf Khusus Presiden bidang Hubungan Antarabangsa Teuku Faizasyah pada Isnin menegaskan bahawa pengintipan adalah suatu perbuatan yang sangat tidak beretika.

Pengintipan dengan alasan apapun, katanya harus dihindari dalam hubungan antara negara kerana maklumat boleh diperoleh melalui cara diplomasi yang wajar.

Menteri Luar Negeri Indonesia Marty Natalegawa menyifatkan perbuatan pengintipan sebagai sesuatu yang sangat memprihatinkan dan melanggar adab dalam hubungan antarabangsa.

Beliau berkata Indonesia telah meminta pengesahan daripada Britain mengenai kesahihan berita itu kerana ia bersumber daripada pihak ketiga. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan