898 Pusat Hiburan Malam Di Jakarta Dilarang Operasi Pada Ramadan

Diterbitkan: Selasa, 18 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Sejumlah 898 pusat hiburan malam di sini atau separuh daripada 1,799 pusat hiburan di ibu negara Indonesia ini akan dilarang beroperasi sepanjang bulan Ramadan ini.

Ketua Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan Jakarta, Arie Budiman berkata larangan itu berdasarkan peraturan kerajaan tempatan.

Jenis perniagaan yang terlibat dalam larangan operasi bagi bulan puasa itu ialah kelab malam, mandi wap, rumah urut, kelab mesin slot dan bar, katanya di sini Selasa.

Peraturan itu turut membataskan waktu operasi beberapa pusat hiburan lain seperti karaoke dan pusat snooker, iaitu mulai pukul 8.30 malam hingga 1.30 pagi sahaja.

Sementara itu pada hari-hari tertentu seperti sehari sebelum Ramadan, hari pertama Ramadan dan malam Nuzul al-Quran, semua pusat hiburan di Jakarta diwajibkan tutup, katanya.

Semua pusat hiburan juga diwajibkan menghentikan operasi sehari sebelum Aidilfitri sehingga hari kedua Aidilfitri.

Arie berkata hotel, rumah tumpangan, pusat peranginan (resort) atau perniagaan yang berteraskan konsep penginapan, dibenarkan beroperasi seperti biasa sepanjang Ramadan.

Kegiatan lain yang dibenarkan pada bulan Ramadan ini ialah pemandu pelancong, ejen pelancongan, perunding pelancongan, panggung wayang, golf, boling, salon, gimnasium, kolam renang dan kolam memancing.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan