Singapore Airlines Tempah 50 Pesawat Berangka Besar A350

Diterbitkan: Jumaat, 31 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Singapore Airlines akan membeli sehingga 50 pesawat A350 XWB (rangka lebih besar), kata Airbus pada Jumaat.

Pengeluar utama pesawat itu berkata, pemasangan A350 XWB pertama sudah siap, dan program ujian penerbangan ekstensif dijadualkan bermula pada pertengahan 2013.

Ia berkata, perkhidmatan komersil pesawat pertama pelanggan itu dijadualkan pada separuh kedua 2014.

A350 XWB yang merupakan barisan produk saiz pertengahan jarak jauh kesemuanya baharu itu, mengandungi tiga versi dan tempat duduk antara 270 dan 350 penumpang dalam susun atur tiga kelas yang biasa.

Pesawat akan membawa tahap kecekapan baharu dalam pasaran saiz pertengahan, menggunakan 25 peratus kurang bahan api berbanding pesawat sedia ada dalam kategori saiz ini selain pengurangan pelepasan CO2.

Airbus berkata, perjanjian itu meliputi tempahan untuk 30 lagi A350-900s serta opsyen membeli 20 pesawat tambahan.

Ia berkata, perjanjian itu membolehkan syarikat penerbangan itu memilih sama ada pesawat asas A350-900 atau A350-1000 yang lebih besar.

Perjanjian terkini ini merupakan tempahan ketiga oleh Singapore Airlines untuk A350 XWB.

"Semakin menghampiri penerbangan pertama, permintaan untuk A350 XWB terus meningkat, terutama bagi model lebih besar," kata John Leahy, Ketua Pegawai Operasi (Pelanggan) Airbus.

"Airbus sudah sedia membuat perubahan dalam pasaran rangka pertengahan dan besar dan kami bangga menerima tempahan besar Singapore Airlines," katanya.

Setakat ini, Airbus menerima pengesahan tempahan untuk 616 pesawat A350 XWB daripada 34 pelanggan di seluruh dunia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan