Dokumentari Australia, Fiji Pemenang Utama Anugerah Televisyen Sedunia

Diterbitkan: Jumaat, 31 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MANADO (Sulawesi): Dokumentari televisyen 'Catalyst: Taking Australia's Temperature' terbitan Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) dan 'A Day at the Beach' terbitan Perbadanan Penyiaran Fiji (FBC) diumumkan pemenang utama Anugerah Televisyen Sedunia pada Sidang Kemuncak Media Asia 2013 yang berakhir di sini Jumaat.

Dokumentari ABC arahan Jonica Newby mengalahkan 22 penyertaan lain dari 13 negara untuk merebut anugerah Dokumentari Terbaik bagi tema 'Menangani Bencana Alam' untuk kategori Kemanusiaan.

Hadiah kedua kategori itu dimenangi oleh dokumentari 'One Man's Desert: Direction of Hometown' arahan Fan Zhiyuan dan diterbitkan oleh CCTV12 dari China.

Dokumentari FBC 'A Day at the Beach' arahan Clarence Dass mengalahkan 18 dokumentari lain dari 14 negara termasuk Pakistan yang muncul naib juara dengan dokumentari bertajuk 'Ozone - We are the Future' terbitan HUM TV.

Dokumentari itu diarahkan oleh Rehan Ahmad yang juga juara kategori sama pada edisi 2012 di Bangkok.

Anugerah Televisyen Sedunia merupakan anugerah tahunan yang dibuka kepada semua penyiar sektor awam dan swasta serta penerbit bebas dari Asia, Eropah, Afrika, Timur Tengah, Amerika Utara dan Amerika Selatan.

Dianjurkan oleh Asia-Pacific Institute for Broadcasting Development, anugerah ini turut disokong oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Arab States Broadcasting Union, Radio Televisyen Malaysia dan The Islamic Broadcasting Union. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan