Tiga Wanita Ditemui Selamat Selepas Hilang Satu Dekad

Diterbitkan: Selasa, 7 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

CLEVELAND: Tiga wanita yang dilaporkan hilang kira-kira 10 tahun lalu ditemui masih hidup di kawasan perumahan di selatan pusat bandar di sini.

Jurucakap polis berkata, ketiga-tiga mereka iaitu Amanda Berry, Gina DeJesus dan Michele Knight ditemui awal pagi Isnin.

Polis mengumumkan yang mereka telah menahan tiga lelaki keturunan Hispanik yang berusia dalam lingkungan umur 50an untuk memudahkan siasatan.

Wanita-wanita ini berjaya diselamatkan apabila Amanda Berry - yang diculik 10 tahun lalu pada usia 16 tahun - berjaya meloloskan tangannya menerusi rekahan pada pintu hadapan rumah yang menjadi tempat kurungan mereka lalu menjerit meminta pertolongan.

"Saya ada mendengar seseorang menjerit dan kemudian apabila saya menoleh kearah suara itu saya melihat seseorang cuba meloloskan dirinya dari rumah itu," kata Charles Ramsey, seorang saksi kepada sebuah stesen televisyen tempatan ketika ditemuramah.

Dan kata Ramsey lagi apabila dia menghampiri pintu hadapan rumah itu dia mendengar seorang wanita meminta tolong agar membebaskan mereka kerana telah terlalu lama dikurung di dalam rumah itu.

Ramsey kini dijulang sebagai hero oleh masyarakat tempatan kerana membantu menyelamatkan ketiga-tiga wanita itu.

Menurut Ramsey lagi selepas berjaya memecahkan bahagian bawah pintu rumah itu, dia melihat seorang wanita merangkak keluar bersama-sama seorang kanak-kanak perempuan.

Amanda Berry kemudiannya di bawah ke salah sebuah rumah jiran di kawasan itu dan terus menelefon polis.

"Saya adalah Amanda Berry. Saya telah diculik dan dikurung selama 10 tahun, datang selamatkan saya dan yang lain-lain sekarang juga," Amanda dipetik sebagai memberitahu talian kecemasan 911.

Apabila polis tiba, Amanda memberitahu pihak berkuasa bahawa selain dia, terdapat dua lagi wanita yang turut diculik dan dikurung di dalam rumah tersebut.

Dia juga memberitahu lelaki yang menculik dan mengurungnya selama ini bernama Ariel Castro.

Berry kali terakhir dilihat ialah pada 21 April 2003 apabila dia berjalan keluar dari restoran makan segera tempat di mana dia bekerja pada jam 7.40 malam.

Ibunya, Louwanna Miller, meninggal dunia pada Mac 2006 kerana sengsara akibat kehilangannya.

DeJesus pula berusia 14 tahun ketika kehilangannya dilaporkan ketika sedang berjalan pulang dari sekolah pada 2 April 2004.

Knight, yang berusia 21 tahun ketika hilang kali terakhir dilihat ialah di rumah sepupunya pada 23 Ogos 2002.

Seorang jiran bernama Charlie Czorb berkata dia terkejut dan sukar mempercayai yang selama ini mereka duduk berjiran dengan sekumpulan penculik yang mengurung tiga orang mangsa tanpa disedari oleh sesiapa pun.

Castro disifatkan oleh jiran-jiran sebagai seorang pemandu bas sekolah dan pemuzik yang ramah.

Dia kerapkali dikunjungi oleh anak perempuannya dan juga cucu-cucunya.

Ramsay, sebenarnya turut menyatakan rasa terkejutnya kerana dia sepertimana jiran-jiran yang lain mengenali Castro sebagai seorang yang ramah dan pernah duduk makan semeja dengannya dan mendengar dia bermain muzik salsa.

Pihak berkuasa masih lagi menyiasat bagaimana ketiga-tiga mangsa itu dikurung di dalam sebuah rumah tanpa disedari oleh jiran dan juga hidup tanpa berganjak keluar dari rumah berkenaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan