Pendakwa Raya Kes Benazir Bhutto Ditembak

Diterbitkan: Sabtu, 4 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Chaudhry Zulfikar
Chaudhry Zulfikar

ISLAMABAD: Kumpulan lelaki bersenjata menembak mati pendakwa raya Pakistan Chaudhry Zulfikar yang menyiasat kes pembunuhan bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto ketika beliau sedang jalan perjalanan menuju ke mahkamah di ibu kota negara itu pada Jumaat.

Zulfikar mengendalikan beberapa kes kontroversi, termasuk pembunuhan Bhutto pada 2007 di mana Musharraf dituduh terbabit.

Beliau juga terlibat dalam kes militan yang dikaitkan dengan serangan ganas 2008 di Mumbai.

Zulfikar ditembak beberapa das selepas lelaki bersenjata memintas kenderaan yang dipandunya tidak lama selepas beliau meninggalkan rumahnya.

Kematian beliau menyebabkan pengendalian kes yang turut membabitkan bekas Presiden Pervez Musharraf kucar-kacir.

“Beliau sedang dalam perjalanan ke mahkamah di Islamabad apabila penyerang melepaskan tembakan ke arahnya dari sebuah teksi. Tembakan mengenai kepala, bahu dan dadanya,” kata pegawai polis, Mohammed Ishaq.

Tembakan itu menyebabkan Zulfikar gagal mengawal keretanya lalu melanggar seorang wanita yang berada di bahu jalan.

Wanita tersebut disahkan maut ketika dalam perjalanan ke hospital.

Beliau berkata pengawal Zulfikar, Farman Ali, membalas tembakan tersebut dan dipercayai mencederakan sekurang-kurangnya seorang penyerang.

Namun, penyerang berjaya melarikan diri selepas membunuh Zulfikar dan usaha memburu besar-besaran dilancarkan untuk mencari mereka.

Motif pembunuhan tidak diketahui, tetapi pembabitan Zulfikar dalam dua kes berprofil tinggi mungkin berkait rapat dengan insiden tersebut.

Pendakwa kerajaan menuduh Musharraf terbabit dalam pembunuhan Bhutto dan tidak memberikan perlindungan mencukupi kepada Perdana Menteri wanita pertama Pakistan itu.

Musharraf, yang berkuasa ketika kejadian itu, menafikan dakwaan itu.

Ketika serangan, beliau menyalahkan pembunuhan itu terhadap Taliban Pakistan.

Kes Bhutto berlanjutan selama bertahun-tahun dalam sistem mahkamah Pakistan.

Beberapa penyerang yang didakwa dibicarakan tetapi tiada siapa disabitkan.

Kes berkenaan menjadi tajuk utama apabila Musharraf kembali Mac lalu selepas empat tahun hidup dalam buangan.

Zulfikar juga adalah pendakwa utama dalam kes mengaitkan serangan pengganas 2008 di Mumbai yang mengorbankan 166 orang.

Serangan dipersalahkan ke atas kumpulan berpangkalan di Pakistan, Lashkar-e-Taiba.

Lashkar-e-Taiba diasaskan beberapa tahun lalu dengan bantuan perisikan Pakistan untuk menekan India berhubung wilayah Kashmir yang menjadi rebutan.

Musharraf kembali ke Pakistan untuk melakukan kemunculan semula di sebalik ancaman maut Taliban dan kes undang-undang terhadapnya.

Namun malang terus menghantui sejak beliau tiba di negara itu. - AP

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan