Suspek Cubaan Meletupkan Kereta Api Laju Taiwan Berjaya Ditangkap

Diterbitkan: Khamis, 18 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAIPEI: Pihak berkuasa Taiwan telah berjaya menahan dua lelaki warganegara itu berhubung kejadian penemuan empat buah beg berisi petrol dan sianida (cyanide) di dalam gerabak kereta api laju baru-baru ini dan juga di dalam pejabat seorang ahli politik tempatan.

Dua suspek tersebut yang hanya didedahkan nama keluarga mereka iaitu 'Hu' dan 'Chu', telah disoal-siasat pada Selasa berhubung kejadian itu, kata jurucakap Mahkamah Daerah Bandar Baru Taipei, Fan Chi-kang, pada Rabu.

Pihak pendakwa raya berjaya memperolehi pengakuan Hu yang dia bertanggungjawab membuat dan meletakkan bahan letupan tersebut di dua tempat berkenaan kerana kecewa dengan sikap masyarakat manakala Chu pula mengaku bersubahat dengan Hu.

Mereka berdua boleh berhadapan dengan dakwaan cubaan membunuh yang jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman minimum 10 tahun penjara.

Mahkamah mengarahkan kedua-dua mereka yang ditangkap ketika cuba melarikan diri ke Republik Rakyat China itu terus ditahan sehingga dibicarakan, jelas Fan.

Hasil siasatan polis menemui DNA Hu, 44, pada kesemua empat buah beg yang berisi bahan letupan tersebut dan cap jari Chu, 46, telah ditemui pada van yang digunakan untuk membawa bahan-bahan tersebut ke tempat sasaran.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan