Malaysia Pantau Situasi di Myanmar - Kementerian Luar

Diterbitkan: Isnin, 1 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Yangon kini memantau rapi situasi tidak menentu di beberapa kawasan di Myanmar kerana bimbang dengan insiden keganasan yang berlaku ke atas penduduk negara itu yang beragama di wilayah Mandalay dan Bago.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini menyebut walaupun mengamalkan dasar tidak campur tangan terhadap urusan dalaman sesebuah negara, Malaysia menyeru agar semua pihak yang terlibat dalam insiden keganasan baru-baru ini dapat mengelak daripada mengambil tindakan yang akan memburukkan lagi keadaan.

"Semua rakyat Malaysia di Myanmar dinasihatkan supaya berwaspada dan menjauhi kawasan-kawasan yang terjejas akibat keganasan termasuklah Meiktila, Mahlaing, Tharzi dan Wundwin di Mandalay serta Gyobingauk, Othepho dan Min Hla di Bago.

"Nasihat perjalanan terkini boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang di http://www.kln.gov.my/web/mmr_yangon/home dan Facebook kedutaan," katanya.

Kenyataan itu juga menyebut Malaysia berharap kerajaan Myanmar akan mengambil tindakan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

"Malaysia menyambut baik kenyataan rasmi yang dibuat oleh Presiden U Thein Sein pada 28 Mac 2013 berkenaan rusuhan terkini di Meiktila dan beberapa kawasan lain di Myanmar serta pengisytiharan perintah darurat oleh Presiden di beberapa bandar di Mandalay.

"Malaysia juga menyambut baik pelaksanaan perintah berkurung oleh kerajaan Myanmar di tiga bandar di Bago.

"Malaysia mengambil maklum bahawa kerajaan Myanmar telah mampu untuk meredakan keganasan yang berleluasa," kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bercadang menganjurkan Mesyuarata Menteri-Menteri Luar pada 14 April bagi membincangkan isu keganasan terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan