Yudhoyono Dipilih Ketua Umum Parti Demokrat

Diterbitkan: Ahad, 31 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono pada Sabtu dipilih sebagai Ketua Umum Parti Demokrat bagi tempoh 2013-2015, dalam usaha menyelamat dan menyatukan semula parti yang diasaskannya itu daripada masalah dalaman serta kemerosotan kepercayaan rakyat.

Pemilihan beliau, yang pada masa ini menyandang jawatan Ketua Majlis Tertinggi Parti Demokrat, dibuat pada kongres luar biasa parti itu di Denpasar, Bali.

Para pemimpin pelbagai peringkat parti itu berkeyakinan bahawa Yudhoyono adalah satu-satunya tokoh yang mampu mengembalikan semula perpaduan dan kekuatan parti serta kepercayaan rakyat terhadap Demokrat bagi menghadapi pilihan raya umum pada 2014. Yudhoyono bersetuju mengisi jawatan ketua umum yang dikosongkan oleh Anas Urbaningrum itu dengan dua syarat iaitu ia hanya bersifat sementara demi menyelamatkan parti dan sebahagian besar tugas ketua umum itu akan diserahkan kepada seorang ketua harian dan seorang timbalan Ketua Majlis Tertinggi parti.

Kedua-dua syarat itu diletakkannya demi untuk memastikan bahawa tugas beliau sebagai ketua negara Indonesia tidak terganggu dengan tugas sebagai ketua umum Demokrat.

Kongres luar biasa itu menyerahkan sepenuhnya kepada Yudhoyono untuk melantik ketua harian parti yang dapat bekerja sebagaimana yang diharapkan. Selepas tempoh dua tahun, Yudhoyono telah meminta supaya diadakan semua kongres parti bagi memilih ketua umumnya yang baru. Anas telah meletakkan jawatannya sebagai ketua umum parti Demokrat tidak lama dulu setelah Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia menjadikannya sebagai suspek kes rasuah projek pembinaan Kompleks Sukan Bukit Hambalang, di Bogor.

KPK sebelum itu telah menetapkan Andi Mallarangeng, yang merupakan salah seorang pemimpin dalam parti Demokrat, sebagai suspek dalam kes rasuah yang sama.

Andi, yang pada masa itu masih menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan Indonesia, telah meletakkan jawatan kabinetnya serta jawatan dalam parti, bagi memberi tumpuan kepada kes yang sedang dihadapinya itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan