Minat Terhadap Program 'Malaysia Rumah Keduaku' Semakin Meningkat Di India

Diterbitkan: Isnin, 18 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Program Malaysia Rumah Keduaku, atau lebih popular sebagai MM2H, mendapat perhatian besar di India, terutama di selatan India, dengan beberapa pihak mahu melabur atau tinggal di Malaysia.

Chitra Devi Ramiah, Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Tamil Nadu, berkata kesedaran dan minat terhadap skim itu semakin meningkat dan pejabatnya menerima beberapa pertanyaan saripada penduduk tempatan sejak beberapa bulan lepas.

Beliau memberitahu Bernama dalam tempoh empat bulan beliau bertugas di Chennai, dua orang sudah pun menerima tawaran dasar MM2H.

"Program MM2H menarik perhatian kelas pertengahan yang semakin meningkat, yang berminat untuk melabur dalam hartanah dan bentuk simpanan yang lain.

"Penduduk di Selatan India mengikuti rapat model ekonomi baharu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan mereka tertarik terhadap Malaysia dalam pelan pelaburan mereka," katanya.

Iskandar Malaysia, zon ekonomi khas di Johor Baharu, dan kawasan Segi Tiga Pertumbuhan, hab hiburan Kuala Lumpur, merupakan antara lokasi tarikan pelaburan baharu berdasarkan lokasi strategiknya serta kemudahan infrastruktur.

Iskandar Malaysia juga yang merupakan titik lokasi penting antara Malaysia dan Singapura juga merupakan lokasi baik untuk pelaburan, terutama hartanah kediaman.

Minat juga semakin tinggi terhadap kawasan Greater Kuala Lumpur, selain Pulau Pinang untuk tujuan pelaburan, kata Chitra yang menambah, orang ramai juga dipelawa melabur di lokasi baharu di Malaysia dan mendapatkan nasihat beliau semasa menimbang opsyen pelaburan masing-masing.

MM2H, dasar kediaman global yang diluluskan oleh kerajaan Malaysia, menawarkan visa pelbagai kemasukan untuk rakyat asing yang memenuhi kriteria kewangan dan perubatan, yang membolehkan mereka menetap di Malaysia sehingga 10 tahun. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan