Aquino Gesa Proses Rundingan Berhubung Tuntutan Ke Atas Sabah

Diterbitkan: Ahad, 17 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MANILA: Presiden Filipina, Benigno Aquino pada Ahad berkata proses rundingan adalah satu-satunya jalan untuk menyelesaikan tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Sabah dan beliau turut mengkritik tindakan kumpulan bersenjata menyerang Malaysia.

Aquino turut mengecam konspirasi terancang pihak tidak bertanggjungjawab yang menghantar pengikut-pengikut kesultanan Sulu ke Sabah kerana ia telah mengancam keselamatan 800,000 rakyat Filipina yang tinggal dan bekerja di negeri itu.

Bercakap di Akademi Elit Ketenteraan di Filipina pada Ahad, beliau turut mengutuk tindakan pengikut Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram III yang membunuh dengan kejam sembilan anggota pasukan keselamatan di Malaysia.

“Insiden seperti ini akan hanya menyebabkan lebih banyak masalah kerana anda cuba menyelesaikan dengan tergesa-gesa atau menggunakan kekearasan. Kita memerlukan perbincangan mendalam dan ikhlas jika mahu mencari jalan penyelesaian yang betul,” katanya ketika menghadiri majlis graduasi kadet tentera pada Ahad.

“Kita sudah tahu betapa rumitnya isu ini. Bolehkan mana-mana Perdana Menteri Malaysia dengan mudah melepaskan sebuah negeri yang sudah lama tertakluk di bawah undang-undang mereka?,” soal Aquino.

Lebih 200 pengikut Kiram, dengan sebahagiannya membawa senjata menceroboh Sabah dengan tujuan untuk menuntut semula Sabah yang merupakan sebahagian daripada wilayah itu satu ketika dahulu.

Pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia menyebabkan 61 anggota kumpulan bersenjata ditembak mati sementara lapan anggota polis dan seorang anggota tentera turut gugur dalam Operasi Daulat yang dilancarkan 5 Mac lalu.

Sementara itu lebih 100 orang turut ditahan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan berkenaan turut ditahan di Sabah.

Bagaimanapun, ketua kumpulan pengganas berkenaan, Azzimudie Kiram yang juga adik bongsu kepada Jamalul Kiram III tidak dapat ditangkap sehingga kini.

Minggu lalu, Tentera Laut Filipina menahan 35 suspek penceroboh Filipina kerana mereka cuba berlayar pulang ke tanah air.

Aquno turut mendakwa ada pihak ketiga yang terlibat dalam membiayai pengikut Kiram berhubung insiden pencerobohan di Sabah ia memerlukan wang yang banyak.

Dalam pada itu, jurucakap keluarga Kiram, Abraham Idjirani berkata pihak kesultanan terpaksa mengambil tindakan kekerasan kerana kerajaan Filipina tidak mengambil tindakan berhubung tuntutan mereka.

Beliau turut menafikan ada pihak menaja kumpulan penceroboh berkenaan, dengan mendakwa pengikut Sultan Sulu bertindak sedemikian atas kemahuan mereka sendiri.

Idjirani berkata beliau telah bercakap telefon dengan Azimmudie Kiram pada lewat malam Sabtu dan mengesahkan dia masih berada di Sabah dan tidak mengalami kecederaan. – AFP

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan