Aquino Tolak Tekanan Keluarkan Malaysia Daripada Rundingan Damai

Diterbitkan: Khamis, 14 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Benigno Aquino III
Benigno Aquino III

MANILA: Dakwaan pencabulan hak asasi manusia terhadap rakyat Filipina di Sabah telah menimbulkan penentangan terhadap Malaysia sebagai fasilitator bagi rundingan damai antara Manila dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), menurut Manila Standard Today (MST).

Akhbar Filipina itu walau bagaimanapun, melaporkan jurucakap kepada Presiden Filipina Benigno Aquino III mengatakan negara tersebut tidak akan menggantikan Malaysia dengan negara lain, kerana Malaysia telah memainkan peranan dalam rundingan damai tersebut semenjak 2001.

"Kita telah hampir untuk persetujuan dan tiada sebab untuk kita tukar fasilitator," kata jurucakap presiden Edwin Lacierda dilaporkan berkata oleh laman atas talian MST.

"Mereka (Malaysia) banyak membantu dengan rangka rundingan untuk perdamaian, bukan sahaja untuk MILF tetapi untuk semua Muslim di Mindanao. Kita harus jelas...ini bukan hanya perdamaian dengan MILF, ini perdamaian untuk semua orang Islam Filipina termasuk kesultanan, termasuk Moro National Liberation Front dan semua Muslim di Mindanao," ujarnya.

Sebelum ini, Media Filipina telah melaporkan dakwaan wujudnya penyalahgunaan dan pembunuhan semasa serbuan pihak berkuasa Malaysia untuk memburu pengganas Sulu, sejak pengikut bersenjata kesultanan Sulu menceroboh Lahad Datu, Sabah, bulan lepas.

Philippine Daily Inquirer sebelum ini melaporkan terdapat rakyat Filipina didakwa ditembak mati di Sandakan selepas dia dipaksa oleh polis untuk berlari secepat mungkin.

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menafikan laporan itu.

Bekas ketua perunding pemerintah dengan MILF, Jeses Dureza dilaporkan berkata peranan Malaysia sebagai fasilitator yang berkecuali 'berkecai' dengan tuduhan penyalahgunaan kuasa terhadap rakyat Filipina di Sabah.

"Satu daripada kemusnahan besar dari insiden Sabah adalah rundingan damai MILF. Terbukti insiden tersebut telah menenggelamkan rundingan damai MILF," kata Dureza seperti dilaporkan oleh MST.

Pemerintah Filipina telah mencapai persetujuan dengan MILF Oktober lalu yang dijangka akan mengurangkan keganasan di selatan Filipina yang bergolak. Di bawah perjanjian damai, MILF tidak lagi menuntut kemerdekaan, tetapi entiti politik baru yang dikenali sebagai Bangsamoro akan diwujudkan menggantikan Mindanao.

Media Filipina juga melaporkan bahawa lebih daripada 1,000 rakyat keturunan Filipina, ramai daripada mereka adalah pemegang MyKad, telah melarikan diri dari Sabah selepas pencerobohan Sulu bermula.

Jabatan Kebajikan Sosial dan Pembangunan di Wilayah Autonomi Islam Mindanao telah ditugaskan untuk mengumpul maklumat daripada pelarian sebelum mengemukakan aduan kepada Malaysia.

Timbalan jurucakap presiden Abigail Valte berkata dalam laporan ABN-CBS News pada Ahad bahawa Istana Presiden telah menerima pelbagai dakwaan “layanan tidak berperikemanusiaan” terhadap rakyat Filipina tidak berdosa, yang kebanyakannya tidak mempunyai kaitan kepada pencerobohan oleh tentera diraja Kesultanan Sulu itu.

Bagaimanapun dakwaan tersebut tidak dapat dibuktikan.

Seramai 66 orang terbunuh dalam pertempuran antara anggota keselamatan Malaysia dengan puak penceroboh Sulu sehingga Selasa lepas, termasuk lapan anggota polis Malaysia dan seorang anggota tentera Malaysia, dan seorang remaja yang tidak diketahui kewarganegaraannya.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan