Jepun Memperingati Ulang Tahun Ke-2 Tsunami

Diterbitkan: Isnin, 11 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ISHINOMAKI: Warga negara Jepun pada Isnin menundukkan kepala mereka sebagai tanda hormat dan bertafakur untuk memperingati malapetaka tsunami dan gempa bumi yang telah mengorbankan nyawa 19,000 orang genap dua tahun lalu.

Di merata-rata tempat penduduk Jepun menjalankan pelbagai upacara dan majlis untuk memperingati malapetaka tersebut yang turut mencetuskan krisis tenaga nuklear apabila salah satu daripada loji utamanya meletup dan membebaskan radiasi yang mengancam nyawa penduduk.

Maharaja Akihito dan Maharani Michiko turut mengetuai upacara bertafakur tersebut di ibu negara, Tokyo.

Di Sekolah Rendah Okawa di bandar Ishinomaki, satu majlis untuk memperingati 70 orang kanak-kanak yang terkorban ditelan tsunami turut diadakan.

Bandar itu telah membunyikan siren amaran tsunami pada tepat pukul 2.46 petang, sebagai tanda simbolik waktu berlakunya gempa bumi bermagnitut 9.0 pada kadar Richter 11 Mac 2011.

Angka rasmi kematian akibat gempa bumi dan tsunami itu ialah 15,881 orang tetapi pada masa yang sama, 2,668 orang lagi masih diklasifikasikan sebagai hilang dan masih belum ditemui hidup atau mati.

Perdana Menteri, Shinzo Abe menegaskan yang Jepun harus belajar dari malapetaka yang dahsyat ini.

"Saya berjanji yang kerajaan akan meneruskan usaha-usaha membangunkan semula kawasan yang terjejas teruk dan memastikan yang kami akan mengembalikan kehidupan kepada mangsa-mangsa malapetaka itu secepat yang mungkin," tegasnya dalam satu majlis ringkas di Tokyo.

Dan salah satu janjinya kepada rakyat ialah untuk menjadikan Jepun sebagai sebuah negara kalis malapetaka.

Di wilayah Miyagi, polis sehingga ke hari ini tetap meneruskan pencarian ke atas 1,300 mangsa tsunami yang masih hilang.

Lima puluh anggota polis masih ditugaskan untuk mencari mangsa-mangsa yang disenaraikan hilang itu di kawasan persisiran pantai hampir setiap hari.

"Tetapi sudah hampir setahun pencarian kami gagal menemui walau satu mayat pun tetapi perasaan dan harapan para keluarga mangsa-mangsa yang hilang ini tidak sedikit pun berubah," kata pegawai polis Miyagi, Toshiaki Okajima kepada wartawan agensi berita AFP.

Sejak kejadian itu, masih terdapat 315,196 orang yang belum kembali ke kediaman tetap mereka dan ditempatkan di unit-unit kediaman sementara di seluruh negara.

Ini memandangkan masih terdapat konflik di dalam diri mereka sama ada mahu kembali ke tanah asal yang diwarisi sejak turun temurun atau berpindah ke kawasan yang lebih tinggi dan selamat.

Tsunami dan gempa bumi yang berlaku dua tahun dulu itu turut memusnahkan loji nuklear Fukushima Daiichi sekaligus menjadikannya sebagai malapetaka nuklear paling buruk dalam sejarah dunia selepas kejadian letupan pada loji nuklear Chernobyl di Ukraine pada tahun 1986.

Dan sejak kejadian itu juga, sejumlah 10,000 gempa susulan dicatatkan berlaku di sekitar Jepun termasuk 736 gegaran yang melebihi magnitut 5.0.

Sejak kejadian itu juga, hanya dua daripada 50 reaktor nuklear komersial di seluruh negara dibuka semula untuk beroperasi.

Jepun kini sedang berada di persimpangan jalan sama ada untuk meneruskan dengan loji nuklear sebagai sumber penghasilan tenaga elektrik yang cekap dan efisien tetapi berisiko tinggi atau berpindah kepada sumber yang lebih konvensional.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan