Tentera Mengamuk Bakar Ibu Pejabat Polis Daerah Sumatera Selatan

Diterbitkan: Khamis, 7 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Sekumpulan anggota tentera darat Indonesia yang mengamuk telah menyerang dan membakar sebuah bangunan ibu pejabat polis daerah di Sumatera Selatan pada Khamis, mengakibatkan sekurang-kurangnya empat anggota polis cedera dan sebahagian besar bangunan ibu pejabat itu musnah.

Mereka turut membakar dan memusnahkan beberapa buah kenderaan polis yang terletak dalam kawasan kompleks ibu pejabat polis daerah Ogan Komering Ulu itu, yang terletak di Kota Baturaja.

Dalam kekecohan yang berlaku itu serta musnahnya bangunan, sejumlah 16 tahanan polis mengambil kesempatan melarikan diri dari lokap ibu pejabat polis itu.

Jurucakap polis berkata kejadian pada pukul 8.30 pagi itu berpunca daripada kes penembakan mati seorang anggota tentera dari sebuah batalion tempatan pada Januari lepas oleh seorang anggota polis, kerana kesalahan lalu lintas.

Kumpulan anggota tentera yang mengenakan seragam celoreng itu dilaporkan pergi ke ibu pejabat polis daerah itu pada hari ini untuk mengetahui perkembangan terkini berhubung siasatan kes penembakan mati rakan mereka itu.

Bagaimanapun mereka kemudian mengamuk dan menyerang anggota polis di situ serta membakar bangunan ibu pejabat polis daerah itu serta beberapa kenderaan polis.

Kumpulan anggota tentera itu telah pergi ke situ tanpa pengetahuan ketua mereka dan hanya meninggalkan tempat itu setelah pihak pimpinan mereka yang menerima laporan tentang kejadian itu, memerintahkan mereka pulang ke markas.

Anggota polis yang cedera dilaporkan mengalami luka tikaman.

Menteri Penyelaras bidang Politik, Undang-undang dan Keselamatan Indonesia Djoko Suyanto dalam kenyataannya meminta supaya tindakan tegas diambil terhadap kumpulan anggota tentera terbabit kerana perbuatan mereka tidak boleh diterima sama sekali.

Beliau kesal berlakunya serangan itu lebih-lebih lagi kerana bangunan yang dibakar oleh kumpulan anggota tentera terbabit adalah milik Polis Indonesia dan merupakan simbol negara.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan