Usia 89 Tahun Hantui Karier Politik Mugabe - Berita Dunia | mStar

Usia 89 Tahun Hantui Karier Politik Mugabe

Diterbitkan: Jumaat, 22 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Robert Mugabe
Robert Mugabe

HARARE: Presiden Zimbabwe Robert Mugabe yang menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-89 pada Khamis berhasrat untuk melanjutkan tempoh pemerintahannya walaupun tahap kesihatannya membimbangkan dan usia yang semakin lanjut.

Beliau merupakan pemimpin tertua di Afrika dan kedua tertua di dunia selepas Shimon Peres dari Israel.

Mugabe memerintah Zimbabwe sejak memperoleh kemerdekaan dari Britain pada 1980.

Walaupun spekulasi mengenai tahap kecergasan fikizalnya, Mugabe menerima pencalonan daripada partinya ZANU-PF untuk bertanding pada pilihan raya yang akan diadakan pada Julai.

Namun, timbul rasa was-was sama ada beliau masih mempunyai kekuatan dari segi fizikal dan mental untuk mengharungi kempen pilihan raya dan mampu menjalankan tugasnya selama lima penggal lagi.

"Usia Mugabe dan keadaan kesihatan menghalangnya untuk kekal aktif.

"Lihat saja Pope Benedict XVI yang baru-baru ini mengumumkan persaraannya pada usia 85 tahun, memberitahu badan dan keadaan kesihatan menghalangnya melakukan tugas yang selalu dikendalikan," kata pengulas politik bebas, Blessing Vava.

Pemerhati percaya Mugabe ingin mengekalkan penguasaannya untuk tempoh seberapa lama yang mungkin, kemudian melantik pengganti pilihannya yang akan memberi jaminan bahawa beliau tidak akan didakwa kerana melanggar hak.

"Dia sedang mencari cara pengunduran yang selamat dari bidang politik dengan mengekalkan kuasa sehingga menghembuskan nafas terakhir atau menyerahkan tugas kepada pengganti yang akan memberi jaminan dia tidak akan didakwa kerana melanggar hak," kata penganalisis bebas, Charles Mangongera.

Tambahnya, Mugabe menyedari perkara itu sebagai perlu dilakukan atau dia akan menerima padah dan baginya, ia merupakan isu kepentingan peribadi berbanding kepentingan rakyat.

Namun beliau dijangka berdepan kesukaran untuk mengharungi kempen pilihan raya presiden akan datang.

"Mugabe adalah seorang lelaki tua, dia tidak boleh bergerak sesuka hatinya," kata Vava.

Mangongera berkata Mugabe akan berdepan persaingan sengit dengan calon lebih muda seperti pencabarnya Perdana Menteri Morgan Tsvangirai yang 30 tahun lebih muda.

'Saya tidak rasa Mugabe mampu menahan kepenatan sepanjang kempen pilihan raya.

"Dia berusia 89 tahun. Saya pernah melihat rakaman dia berusaha untuk berjalan di televisyen ," kata Mangongera.

Ia merupakan petunjuk bahawa beliau sudah tidak bermaya. Usia tidak membenarkan Mugabe untuk menjayakan kempen pilihan rayanya.

Mangongera berkata, gesaan Mugabe yang menuntut keamanan menjelang referendum berhubung draf perlembagaan bulan depan dan pilihan raya petanda bahawa dia ingin menebus kesilapannya pada masa lalu.

"Jika anda mendengar pertuturannya beberapa bulan lalu, dia bercakap seperti seorang negarawan. Ia merupakan cubaan untuk menyelamatkan legasinya," katanya.

Mugabe dan Tsvangirai dipaksa membentuk kerajaan yang berkongsi kuasa untuk mengelakkan konflik berdarah seperti yang berlaku pada pilihan raya presiden 2008.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan