Tiga Perkembangan Positif Dalam Konflik Di Selatan Thailand

Diterbitkan: Khamis, 21 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Kerajaan Thailand menunjukkan kesungguhannya dalam menyelesaikan pergolakan sembilan tahun di selatan negara itu secara aman dengan memperkenalkan tiga pendekatan baru baru-baru ini.

Pertama, cadangan untuk menggantikan undang-undang drakonian darurat yang dikuatkuasa di tiga wilayah selatan Narathiwat, Pattani dan Yala sejak 2005 dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kedua, kerajaan membuka pintu untuk proses 'dialog' dengan kumpulan pemberontak.

Akhirnya, pelantikan sembilan pemimpin Islam terkemuka dari selatan sebagai penasihat untuk membantu Timbalan Perdana Menteri, Chalerm Yubamrung di peringkat pusat untuk pelaksanaan Dasar dan Strategi bagi Menyelesaikan Masalah di Wilayah Sempadan Selatan.

Dekri Darurat Pentadbiran Awam dalam undang-undang Darurat Negeri (2005) memberi kuasa khas kepada negeri untuk melaksanakan langkah-langkah keselamatan termasuk menahan suspek selama 30 hari tanpa perbicaraan.

Para pengkritik berkata undang-undang seumpama itu adalah bertentangan dengan hak asasi manusia dan mendakwa pihak berkuasa telah menyalahguna undang-undang itu dengan beberapa kes kematian, suspek hilang dan seksaan terhadap suspek didakwa berlaku ketika mereka dalam tahanan.

Setiusaha Agung Majlis Keselamatan Negara, Leftenan Jeneral Pharadorn Phatthanathabutr berkata, ISA akan memberi tumpuan terhadap penggunaan Artikel 21 bagi membolehkan pemberontak memasuki skim tawaran rayuan.

Di bawah skim itu, pemberontak yang menyerah diri dan meninggalkan perjuangan bersenjata mereka akan di kecuali daripada dakwaan jenayah dengan syarat mereka bersetuju menjalani kursus orientasi selama enam bulan dan bersetuju dengan syarat-syarat lain.

"Langkah-langkah ini akhirnya akan membawa keamanan di selatan," katanya.

Mengenai tarikh penggantian undang-undang itu akan dilaksana bergantung kepada syor gabenor tiga wilayah itu, Kementerian Dalam Negeri dan Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) selepas menilai keadaan di tiga wilayah berkenaan.

Ketua Angkatan Tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha berkata ISA akan menggantikan Dekri Darurat hanya selepas keganasan di selatan berkurangan.

Mengenai pendekatan kedua bahawa kerajaan bersedia membuka pintu untuk mengadakan 'dialog' dengan pemberontak, Lefternan Jeneral Pharadorn berkata, ia selaras dengan pendekatan kerajaan dalam menyelesaikan konflik di selatan melalui dialog secara aman.

Bagaimanapun, Bangkok dengan segera menegaskan bahawa ia bukan satu 'proses rundingan' kerana Bangkok masih mengekalkan pendirian tiada rundingan dengan pemberontak.

Dialog antara Bangkok dan pemberontak dilihat sebagai usaha untuk memulakan satu proses sesuai bagi menamatkan konflik.

"Saya rasa penggunaan ISA adalah cara yang betul untuk dilakukan. Kami mesti mencari jalan untuk berbincang kerana masalah itu tidak akan berakhir jika keganasan berterusan," kata Chalerm.

Bagaimanapun, pengkritik mengingatkan bahawa ia bukan tugas yang mudah memandangkan tidak ada seorang pun yang dilihat jelas sebagai pemimpin kumpulan pemberontak berikutan berlaku beberapa serpihan di kalangan pemberontak dan ada di antara mereka yang menjalankan tindakan militan secara individu.

Lebih 5,000 orang terbunuh sejak kumpulan disyaki pemisah menjalankan semula gerakan bersenjata untuk menuntut kemerdekaan tiga wilayah selatan itu sejak 2004.

Tiga wilayah selatan itu berada di bawah pemerintahan Bangkok pada 1909 dan tidak terdapat tuntutan terhadap kesahan Bangkok itu untuk hampir enam dekad.

Pemberontakan bersenjata tidak berlaku sehingga 1960-an dan selepas itu keadaan senyap seketika sehingga 4 Januari, 2004 apabila pemberontak menyerbu sebuah tempat penyimpanan senjata tentera di Narathiwat dan melarikan 413 sejata api kebanyakannya M-16.

Insiden masjid Krue Se dan Tak Bai memburukkan lagi keadaan apabila 32 orang ditembak mati di dalam masjid Krue Se di Muang, Pattani selepas ia diambil alih kumpulan disyaki pemberontak pada 28 April, 2004.

Lapan puluh lima orang yang ditahan ketika demonstrasi di luar balai polis Tak Bai di Narathiwat, maut akibat sesak nafas ketika dipindahkan ke pangkalan tentera Ingkayuthboriharn di Nong Chik, Pattani pada 25 Oktober, 2004.

Kerajaan Thai telah membelanjakan lebih 180 bilion Baht (RM18 bilion) bagi memerangi keganasan di tiga wilayah itu sejak 2004.

Chalerm berkata, pelantikan sembilan penasihat adalah penting memandangkan mereka merupakan pemimpin tempatan yang tinggal dan amat memahami keadaan di kawasan itu.

"Kami akan mendapatkan lebih banyak pandangan dan idea daripada mereka dalam menangani konflik itu," katanya.

Bangkok turut meminta pandangan Malaysia mengenai isu itu dan Chalerm berkata, beliau akan membincangkan perkara itu dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein apabila menteri dari Malaysia itu melawat Bangkok pada Khamis.

Ia adalah susulan mesyuarat awal bulan lepas apabila Chalerm menemui Hishammuddin di Putrajaya.

Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra juga dijangka menyentuh isu itu dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Putrajaya pada 28 Februari.

Pendirian Kuala Lumpur mengenai isu itu ialah konflik selatan Thailand adalah masalah dalaman Thailand dan tidak akan campur tangan, selaras dengan dasar tidak campur tangan Asean di kalangan 10 negara anggotanya.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur bersedia membantu termasuk dalam meningkatkan pendidikan dan ekonomi di tiga wilayah itu jika diminta oleh Bangkok. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan