14 Maut Dalam Kejadian Tanah Runtuh & Banjir Di Manado

Diterbitkan: Isnin, 18 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Empat belas orang maut dalam bencana tanah runtuh dan banjir di tujuh daerah kecil di Manado, Sulawesi Utara pada awal Ahad.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, 13 orang meninggal dunia akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh manakala seorang lagi lemas dihanyutkan air. Operasi mencari dan menyelamat masih dilakukan pasukan gabungan terdiri daripada anggota tentera, polis dan badan-badan sukarela.

Lebih 1,000 rumah di tujuh daerah kecil di Manado iaitu Tikala, Paal Dua, Singkil, Tuminting, Wanea, Sario dan Wenang dinaiki air sehingga dua meter dalam bencana banjir dan tanah runtuh itu, yang berlaku mulai kira-kira pukul 1 pagi.

Sehingga kini 1,500 penduduk dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan.

Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Sulawesi Utara membuka pusat operasi dan mengedarkan bantuan makanan, pakaian, selimut, perahu dan khemah kepada mangsa-mangsa di kawasan terjejas. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan