Bekas Ketua Perisik Indonesia Nafi Ketuai Operasi Sulit CIA Seksa Tahanan

Diterbitkan: Ahad, 10 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Bekas ketua Badan Intelijen Negara (BIN) Indonesia AM Hendropriyono mengaku menyerahkan tiga suspek militan kepada agensi perisikan pusat Amerika, CIA, tetapi menafikan beliau mengetahui rancangan sulit negara itu untuk menahan dan menyeksa suspek pengganas dari seluruh dunia dalam usaha memerangi keganasan.

Beliau berkata, suspek berkenaan ditahan di Poso, Sulawesi Tengah pada 2002 dalam operasi yang tidak mempunyai kaitan dengan CIA.

"Kami tidak mendapat sebarang perintah daripada CIA. Saya masih ingat, kami menahan tiga warga asing yang terbukti mendalangi pertelingkahan antara penganut Kristian dan Islam di Poso pada sekitar 2002.

"Akhirnya, saya ambil keputusan memindahkan tiga suspek berkenaan kepada CIA kerana pihak berkuasa kami, termasuk Polis Nasional dan Dewan Perwakilan Rakyat, menolak hasil siasatan kami," kata Hendropriyono yang dipetik The Jakarta Post pada Sabtu.

Akhbar harian itu melaporkan bahawa laporan Open Society Justice Initiative (OSJI) berpejabat di New York setebal 213 halaman mendedahkan bahawa sejak 2002, Hendropriyono dipercayai membantu CIA menahan tiga suspek berkenaan - Muhammed Saad Iqbal Madni, Omar al-Faruq dan Salah Nasir Salim Ali Qaru (Marwan al-Adeni) - dan mendakwa mereka kemudian dipindah ke negara lain untuk ditahan dan diseksa secara rahsia.

Bekas ketua agensi perisikan itu berkata apabila penemuan BIN ditolak, beliau memaklumkan kepada agensi perisikan asing, termasuk CIA, tentang penahanan tiga suspek terbabit.

CIA kemudian meminta BIN menyerahkan suspek kepadanya kerana mereka termasuk dalam senarai orang yang dikehendaki, kata beliau. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan