KM Tamil Nadu Pertahan Keputusan Kerajaan Negeri Mengharamkan Penayangan Filem Terbaru Kamal Haasan

Diterbitkan: Khamis, 31 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUMBAI: Ketua Menteri Tamil Nadu pada Khamis mempertahankan keputusan kerajaannya untuk mengharamkan penayangan filem terbaru aktor Tamil popular, Kamal Haasan buat sementara waktu depan keselamatan orang-ramai.

Jayalalithaa Jayaram yang juga merupakan bekas seorang aktres berkata, keputusan tegas itu terpaksa diambil kerana beliau tidak dapat memberi jaminan keselamatan orang-ramai akan terpelihara sekiranya filem spy "Vishwaroopam" ditayangkan di 500 pawagam di seluruh negeri di Selatan India itu.

"Kerajaan negeri tidak mempunyai jumlah anggota polis yang mencukupi untuk mengawal 500 buah pawagam jika filem itu ditayangkan.

"Ini bukannya berkisar soal kebebasan ekspresi atau seni tetapi hakikatnya ialah kami harus mengambil kira kemungkinan akan berlakunya keganasan di luar pawagam," ujar ketua menteri itu lagi.

Sekumpulan pertubuhan dan pergerakan Islam di India telah memprotes dan mengecam filem itu kerana dikatakan memberi gambaran negatif ke atas masyarakat Islam sehingga membuatkan penerbit dan pengarahnya Kamal Haasan berasa nyawanya sendiri kini terancam dan mahu meninggalkan India.

Ini mendorong Jayalalithaa mengeluarkan arahan agar filem tersebut dihalang daripada disiarkan untuk tempoh 15 hari bagi membolehkan pihak penerbit mencari jalan penyelesaian yang terbaik serta mententeramkan keadaan.

"Sekiranya anda tahu dan dapat merasakan yang keganasan dan situasi tidak menentu akan berlaku di tempat-tempat tertentu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan yang ia tidak berlaku," kata Jayalalithaa kepada para wartawan di sini pada Khamis.

Haasan, yang kini berada di Mumbai untuk mempromosikan filem terbarunya itu dikatakan telah bersetuju untuk membuat perubahan pada beberapa adegan tertentu bagi menenangkan kemarahan orang ramai.

Pada masa yang sama, Jayalalithaa berkata, sekiranya pemimpin-pemimpin pertubuhan Islam dan Kamal Haasan dapat duduk semeja berbincang bagi mencapai jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini, kerajaan negeri Tamil Nadu bersedia menjadi orang tengah dan melakukan yang terbaik untuk membantu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan