Kepupusan Harimau Tasmanian Adalah Akibat Perbuatan Manusia Bukan Penyakit - Kajian

Diterbitkan: Khamis, 31 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Harimau Tasmanian
Harimau Tasmanian

SYDNEY: Para penyelidik Australia mengesahkan bahawa kepupusan Harimau Tasmanian yang juga dikenali sebagai Thylacine adalah kerana diburu oleh manusia bukannya disebabkan oleh wabak penyakit.

Spesies terakhir yang menyerupai anjing tetapi berbelang seperti harimau itu mati dalam kurungan di Zoo Hobart pada September 1936.

Ia diisytiharkan pupus secara rasmi pada tahun 1986 apabila para penyelidik berpuas hati tidak ada seekor pun ditemui lagi secara liar di hutan Pulau Tasmania.

Spesies itu hanya hidup di pulau berkenaan.

Ketika manusia pertama dari Eropah menjejakkan kaki di Pulau Tasmania pada 1803, binatang tersebut hidup secara liar di dalam hutan.

Walaupun ia menyerupai anjing atau serigala tetapi Thylacine sebenarnya adalah marsupial iaitu kumpulan binatang yang melahirkan anak di dalam uncang sama sepertimana kanggaroo dan beruang koola.

Ketua Penyelidik dari University of Adelaide, Thomas Prowse yang menjalankan kajian berhubung punca sebenar kepupusan Harimau Tasmanian itu mendedahkan mereka tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan spesies tersebut pupus diakibatkan oleh wabak tertentu.

Sebaliknya salah satu penyebab utama kepupusan Harimau Tasmanian adalah disebabkan kemunculan penternak kambing biri-biri yang memusnahkan habitat semulajadi binatang tersebut.

Populasi harimau berkenaan menjunam dengan mendadak selepas tahun 1905 apabila industri penternakan mengembang dengan pesat di Tasmania.

Sebab kedua ialah apabila kangaroo dan wallabies (kangaroo kecil) yang menjadi makanan semulajadi harimau ini semakin menguncup ekoran pembukaan ladang-ladang penternakan biri-biri, ia sekaligus menjejaskan populasi Harimau Tasmanian, kata Prowse lagi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan