Britain-Algeria Capai Persetujuan Perketat Kerjasama Keselamatan

Diterbitkan: Khamis, 31 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALGIERS: Perdana Menteri British, David Cameron telah mencapai persetujuan dengan rakan sejawatannya dari Algeria untuk memperketatkan lagi kerjasama keselamatan ekoran kejadian di In Amenas yang menyaksikan 37 warga asing terkorban termasuk enam dari Britain.

Ketibaan Cameron dalam rangka lawatan dua hari disambut oleh rakan sejawatannya, Abdelmalek Sellal dan selepas itu beliau terus mengadakan pertemuan dengan Presiden Abdelaziz Bouteflika.

Cameron dan Bouteflika telah bersetuju secara prinsip untuk mewujudkan kerjasama strategik yang lebih mantap dan bermakna termasuklah membawa masuk penasihat keselamatan, ketenteraan dan perisikan untuk membantu Algeria berhadapan dengan ancaman pengganas.

Britain melalui BP Oil & Gas mempunyai kepentingan perniagaan yang besar di negara berkenaan.

Cameron berkata, oleh kerana ancaman pengganas semakin merebak dari Pakistan ke Yaman dan kini di Utara Afrika, isu ini tidak boleh diketepikan lagi.

Sebagai permulaan, Britain telah bersetuju untuk menempatkan 300 anggota tentera dan keselamatan yang lain di sini untuk membantu melatih pasukan keselamatan Algeria berhadapan dengan kemungkinan yang serupa yang berlaku di In Amenas baru-baru ini.

Dalam kejadian yang berlaku di loji penapisan gas di In Amenas itu, sekumpulan anggota militan telah merampas loji berkenaan dan menahan beratus pekerja sebagai tebusan.

Bagaimanapun, 37 tebusan warga asing termasuk dua orang dari Malaysia telah terkorban dalam proses menyelamat oleh pasukan keselamatan Algeria.

Dalam kejadian itu juga 29 anggota militan berkenaan terbunuh.

Britain memutuskan mereka harus mengendalikan isu seperti ini secara lebih serius apabila operasi menyelamatkan tebusan-tebusan itu dilakukan tanpa berunding terlebih dahulu dengan negara-negara yang warga negara mereka terlibat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan