Channel NewsAsia Dilancar Semula Dengan Wajah Baru

Diterbitkan: Isnin, 21 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Stesen penyiaran serantau, Channel NewsAsia, melangkah ke tahun baru dengan berita 24 jam, penampilan baru dan program baru, bagi membolehkan penonton "memahami Asia" dengan lebih baik.

Pelan peluasan itu membabitkan penambahan barisan program dan pelaburan untuk biro dan kemudahan baharu di seluruh Asia.

Ini akan membolehkan saluran itu menerbitkan lebih banyak kandungan asli dan berita untuk siaran langsung yang ditambah masa siaran, 24 jam sehari, meningkat daripada 20 jam sebelum ini.

Pengarah Urusan Channel NewsAsia Debra Soon berkata: "Berikutan ekonomi dunia kini beralih ke Asia, kami yakin berada pada kedudukan yang baik untuk menawarkan apa yang kami sudah lakukan sejak 1999, dan membantu penonton di dunia memahami Asia dengan lebih baik.

"Kami membuat pelaburan besar di Asia untuk menyediakan lebih banyak kandungan perniagaan mengenai Asia, dari Asia. Kami mahu meningkatkan kepimpinan dalam membuat liputan mengenai Asia Tenggara dengan lebih baik berbanding stesen penyiaran lain di sini, dan kami juga akan meningkatkan liputan ke atas Asia Selatan.

"Ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk menawarkan dokumentasi dan program mendalam untuk penonton 24 jam sehari 365 hari setahun."

Pelancaran semula Channel NewsAsia pada Isnin di Marina Bay Studio, dibuat serentak di Mumbai, India dan Hong Kong.

Program baru kewangan selama sejam, Business Central, ke udara pada pukul 8 malam. Ia memaparkan berita utama hab kewangan serantau - Singapura, Mumbai, Hong Kong dan Shanghai - dan membolehkan penonton mengetahui perkembangan pusat kewangan dunia utama lain setiap hari dari biro di London dan New York.

Laporan harian pasaran dan temu bual akan dibuat di kemudahan terkini Channel NewsAsia di Pusat Kewangan Marina Bay. Studio di Marina Bay akan digunakan untuk siaran tengah hari selama, Asia Connect, akan menyiarkan laporan pasaran dagangan harian rentak Asia dari Mumbai, Shanghai, Hong Kong dan Singapura.

Studio canggih itu dibangunkan dengan usaha sama bank terkemuka Asia, DBS Bank.

Kandungan berita ditambah kepada lebih satu pertiga.

News Pulse dari 12 malam hingga 6 pagi, menjejak perkembangan dunia semalaman bagi Asia, dengan berita terkini dari US dan Eropah, diikuti permulaan hari baru untuk Asia, First Look Asia, dari 6 pagi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan