Krisis Boeing Dreamliners 787: Semua Pesawat Di Seluruh Dunia Terpaksa Didaratkan

Diterbitkan: Khamis, 17 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pesawat Dreamliners 787
Pesawat Dreamliners 787

TOKYO: Syarikat penerbangan di seluruh dunia boleh dikatakan bersepakat untuk tidak mengambil risiko dengan menerbangkan pesawat Boeing tercanggih - Dreamliners 787 sehingga masalah pada kotak baterinya dapat diselesaikan.

Krisis ini sekaligus mengancam masa depan jualan pesawat jenis itu yang dilihat sebagai yang terbaru dan paling canggih yang dihasilkan oleh Boeing.

Kini pihak berkuasa penerbangan di Chile, Eropah, India, Jepun dan Qatar telah mengeluarkan arahan yang serupa dengan apa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa penerbangan awam Amerika yang mengarahkan agar semua pesawat Dreamliners 787 didaratkan sehingga masalah pada bateri pesawat jenis berkenaan diselesaikan.

Arahan tersebut dikeluarkan ekoran kejadian kecemasan pada pesawat Dreamliners 787 milik All Nippon Airways (ANA) pada Rabu yang terpaksa membuat pendarat cemas apabila sistem amaran asap berbunyi yang berpunca daripada bateri pesawat.

ANA kemudiannya mengesahkan yang mereka telah menemui tanda-tanda terbakar pada kotak bateri pesawat berkenaan.

Pihak berkuasa penerbangan awam Amerika kemudiannya mengesahkan yang mereka mengesyaki asap tersebut memang berpunca dari sistem bateri yang digunakan dalam semua pesawat Dreamliners 787.

Tidak sepertimana pesawat generasi sebelumnya yang menggunakan kuasa hidrolik dalam kebanyakan peralatannya, Boeing Dreamliners 787 menggunakan sistem elektronik yang dikuasakan oleh bateri.

Bateri tersebut dihasilkan oleh sebuah syarikat Jepun.

Ketua Eksekutif Boeing, Jim McNerney berkata dalam satu kenyataan bahawa insiden ini sangat-sangat dikesali dan mereka telah pun mengambil segala daya usaha yang serius untuk mencari puncanya.

Bagaimanapun pada masa yang sama, beliau memberi jaminan yang pesawat tersebut adalah selamat.

Ekoran kejadian terbaru ini, 46 daripada 50 pesawat Boeing Dreamliners 787 yang berada di seluruh dunia sekarang tidak dibenarkan ke udara sehingga masalah ini diselesaikan.

United Airlines - satu-satunya syarikat penerbangan Amerika Syarikat yang menggunakan perkhidmatan Dreamliner - kini menyertai ANA dan Japan Airlines (JAL) dalam menggantungkan buat sementara waktu perkhidmatan pesawat tersebut.

Ia kemudian diikuti oleh Air India dan LAN Airlines dari Chile manakala syarikat penerbangan Poland - LOT Polish Airlines - yang merupakan satu-satunya negara yang menggunakan pesawat ini di Eropah turut mengambil langkah yang sama pada Khamis.

Qatar kemudian mengumumkan yang ia turut menggantungkan perkhidmatan lima pesawat Dreamliner yang dimilikinya.

Ethiopian Airlines yang memiliki empat buat pesawat Boeing 787 adalah syarikat penerbangan yang terakhir membuat keputusan menggantungkan perkhidmatan tersebut.

ANA dan JAL adalah pelanggan terbesar Boeing 787 di luar Amerika dengan memiliki 24 buah pesawat jenis itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan