Bangunan Di Mesir Runtuh, 25 Terbunuh - Berita Dunia | mStar

Bangunan Di Mesir Runtuh, 25 Terbunuh

Diterbitkan: Khamis, 17 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KAHERAH: Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh pada Rabu (waktu tempatan) apabila bangunan setinggi 12 tingkat runtuh di bandar Alexandaria di Mesir.

Manakala 12 orang lagi cedera, kata Timbalan Menteri Kesihatan Mesir, Mohammed al-Sharkawi kepada AFP.

Lebih ramai lagi terperangkap di bawah runtuhan itu dan sedang menunggu pasukan keselamatan untuk memberi bantuan, kata seorang pegawai kementerian dalam negeri.

Perkhidmatan kecemasan menyelamatkan 10 orang selepas bangunan yang menempatkan 24 keluarga di daerah Maamura di bandar Alexandaria runtuh, kata seorang pegawai keselamatan.

Dua lagi terbunuh apabila sebuah bangunan tiga tingkat runtuh di wilayah Nile Delta di Daqahliya, kata seorang pegawai keselamatan kepada AFP.

“Seorang ibu dan anaknya terbunuh dan lapan yang lain cedera apabila bangunan itu runtuh,” kata pegawai itu, sambil menambah bahawa dianggarkan 10 orang masih lagi terperangkap di bawah runtuhan itu.

Mesir mengalami beberapa insiden runtuhan bangunan sejak beberapa tahun, di mana kebanyakannya berpunca daripada perancangan yang tidak teliti dan penyelenggaran yang tidak memuaskan. - AFP

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan