9,374 Mangsa Dipindahkan Akibat Banjir Di Jakarta

Diterbitkan: Rabu, 16 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Sejumlah 9,374 orang penduduk dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir sejak semalam hingga hari ini apabila sejumlah kawasan penempatan di Jakarta dinaiki air sehingga tiga meter sejak malam Selasa.

MetroTV melaporkan bahawa sehingga kini kejadian banjir itu telah menelan dua jiwa iaitu seorang kanak-kanak di Tanjung Duren dan seorang mangsa di Kampung Melayu.

Sehingga pukul 1 petang hari ini, 39 daripada 50 kawasan penempatan yang mengalami banjir semalam masih dinaiki air, terutamanya Kampung Melayu dan Cawang di Jakarta Timur dan Bukit Duri di Jakarta Selatan yang dilaporkan dinaiki air sehingga 2.5 meter.

Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata mangsa banjir yang paling ramai dipindahkan ialah di Kampung Melayu iaitu seramai 2,257 orang, daripada sejumlah 4,311 mangsa yang dipindahkan di kawasan Jakarta Timur.

Kawasan lain yang terjejas teruk di Jakarta Timur ialah Bidara Cina, Kramatjati dan Cililitan.

Di Jakarta Selatan seramai 2,127 mangsa dipindahkan, dengan jumlah paling ramai ialah di Bukit Duri iaitu seramai 1,151 orang penduduk manakala di Jakarta Barat sejumlah 2,426 mangsa dipindahkan dengan jumlah paling ramai dari Rawa Buaya iaitu seramai 2,102 orang.

Setakat ini tidak ada mangsa dipindahkan dari kawasan Jakarta Pusat dan Jakarta Utara, walaupun ada beberapa kawasan penempatan dilanda banjir di kedua-dua kawasan itu.

BNPB telah menyelaraskan bantuan kecemasan kepada mangsa-mangsa banjir di semua kawasan yang terjejas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan