CapitalMalls Asia Dapat Tapak Perdana Bagi Pembinaan Pusat Membeli Belah Di Wuhan, China - Berita Dunia | mStar

CapitalMalls Asia Dapat Tapak Perdana Bagi Pembinaan Pusat Membeli Belah Di Wuhan, China

Diterbitkan: Selasa, 15 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: CapitaMalls Asia Ltd telah mendapat satu tapak perdana bagi pembinaan satu pusat membeli belah di Wuhan, ibu wilayah Hubei China, pada harga RMB660 juta (kira-kira S$128.4 juta).

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata tapak berukuran kira-kira 70,400 meter persegi itu terletak di Daerah Qiaokou di persimpangan dua jalan, iaitu Jiefang Avenue – salah satu jalan paling sibuk di kawasan Hankou, Wuhan dan Gutian Second Road.

Daerah Qiaokou adalah salah satu daripada tujuh daerah utama Wuhan, yang merupakan bandar raya terbesar di tengah China dan mempunyai 10 juta penduduk.

Tapak itu dikelilingi kira-kira 500,000 orang penduduk pada sekitar jejari 5.0 km.

CapitaMalls Asia berkata ia akan membangunkan tapak itu menjadi pusat membeli belah enam tingkat dengan kawasan lantai kasar keseluruhan kira-kira 160,000 meter persegi dan tidak termasuk 2,100 ruang meletak kereta.

Pusat membeli belah itu dijangka dibuka pada 2015.

Bersama-sama pusat membeli belah baharu itu, CapitaMalls Asia kini mempunyai 60 pusat membeli belah di 36 bandar raya di China, di mana 49 daripadanya sedang beroperasi dan 11 lagi dalam pelbagai peringkat pembangunan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan