Felda Saman Presiden Persatuan Anak Peneroka Dan Enam Lagi Kerana Fitnah

Diterbitkan: Isnin, 7 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada Isnin memfailkan saman fitnah terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan lima lagi berhubung kenyataan penjualan minyak sawit mentah ke Israel.

Felda memfailkan writ saman itu menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Felda (plaintif) menamakan Mazlan dan Mustafa sebagai defendan pertama dan kedua manakala Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman, Pengarang Harakah Taufek Yahya, penulis artikel Mohd Arif Atan, pencetak Harakah Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd serta Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Saifuddin Nasution Ismail, masing-masing sebagai defendan ketiga hingga kelima.

Menerusi pernyataan tuntutan, Felda mendakwa bahawa Mazlan telah memuat naik kata-kata fitnah di laman sosial facebook miliknya pada 19 Nov tahun lepas dan empat hari selepas itu (23 Nov), Mazlan mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu perhimpunan yang dilakukan di hadapan pejabat Felda.

Dakwanya, kenyataan fitnah yang dikeluarkan Mazlan telah diterbitkan semula oleh defendan kedua hingga keenam menerusi beberapa artikel di akhbar Harakah pada 26 hingga 29 Nov tahun lepas.

Felda mendakwa kenyataan fitnah itu telah menjejaskan reputasi Felda dan mendakwa kesemua defendan sengaja berbuat demikian untuk menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat demi meneruskan agenda tersendiri dan kepentingan peribadi.

Felda menuntut gantirugi am, khas, teruk, teladan, faedah dan kos ke atas semua defendan.

Felda juga menuntut satu arahan injunksi untuk menahan Mazlan dan ejen-ejennya berbicara atau menerbitkan kata-kata fitnah tersebut di internet atau media cetak.

Selain itu Felda turut menuntut supaya Mazlan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis di akhbar dan majalah.

Sementara itu peguam Wan Azmir Wan Majib yang mewakili Felda memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan menghantar writ saman kepada defendan-defendan dalam minggu ini. BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan