Lelaki Bersenjatakan Pistol Lepas Tembakan Rambang Korbankan Lima Mangsa

Diterbitkan: Jumaat, 4 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KAWIT (Filipina): Seorang lelaki bersenjatakan pistol separa automatik melepaskan tembakan rambang mengorbankan lima mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Tembakannya itu turut mencederakan 11 orang yang lain.

Kejadian tersebut berlaku di sebuah kawasan yang padat dengan penduduk yang terletak lebih kurang 40 kilometer di selatan Manila.

Amokan lelaki itu hanya terhenti selepas dia mati di tembak polis.

Pegawai penyiasat, Arnulfo Lopez dipetik oleh agensi berita AFP sebagai berkata, lelaki berkenaan melepaskan tembakan ke arah siapa sahaja yang melintas di hadapannya.

Lelaki berkenaan dikenalpasti sebagai Ronaldo Bae, yang pernah bertanding tetapi tewas untuk jawatan ketua kampung berdekatan.

Siasatan awal polis masih belum memperolehi sebarang sebab yang jelas mengapa dia mengamok dan melepaskan tembakan.

Namun begitu beberapa penduduk berdekatan memberitahu AFP yang Bae telah didapati mengambil minuman keras yang banyak pada malam Khamis.

Kejadian amok itu bermula berhampiran dengan kediaman Bae sehinggalah ke pekan Kawit.

Seorang daripada jiran Bae, bernama Maita Lacorte menceritakan bagaimana mereka melihat Bae mengacukan pistol ke arah orang ramai dalam keadaan terhuyung-hayang.

"Saya langsung menjerit ke arah anak-anak dan cucu saya supaya lari menyelamatkan diri," kata Maita kepada AFP tetapi gagal menyelamatkan anak saudara perempuannya yang berusia tujuh tahun yang menjadi mangsa tembakan maut Bae.

Seorang lagi jiran Bae yang menjadi mangsa Alberto Fernandez, 56, ditembak ketika dia sedang berdiri di halaman rumahnya. Fernandez mati di tempat kejadian.

Bae kemudiannya berjalan ke arah pasar berdekatan dan melepaskan beberapa das lagi tembakan dan mengorbankan mangsa yang lain di situ sebelum kembali ke kediamannya.

Polis yang kemudian mengepung rumahnya mendesak Bae supaya menyerah diri tetapi dia membalas respon tersebut dengan melepaskan tembakan ke arah polis.

Dalam pada itu, amokan Bae bukanlah berseorangan. Sebaliknya dia turut diiringi oleh penjaga rumahnya yang dikenali sebagai "John Paul".

Para saksi menyatakan mereka melihat lelaki berkenaan membantu memasukkan peluru ke laras pistol yang digunakan oleh Bae untuk mengamok.

Kini pihak polis melancarkan gerakan besar-besaran untuk menjejaki lelaki berkenaan.

Pilipina adalah sebuah negara yang memberi kelonggaran kepada pemilikan senjata api.

Adalah dianggarkan terdapat 1.2 juta senjata api yang didaftarkan di seluruh negara tersebut.

Juga dianggarkan terdapat 600,000 senjata api yang tidak didaftarkan di seluruh Filipina.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan