X Close

Anwar Tidak Dapat Ubah Perjanjian Air Untuk Rakyat

Diterbitkan: Jumaat 28 Feb, 2014

KAJANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan dapat mengubah perjanjian air yang ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor walaupun beliau mengambil alih jawatan menteri besar negeri itu daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hal ini kerana perjanjian itu tidak boleh ditarik balik dan kedua-dua pihak mesti mematuhi perjanjian yang telah dimetrai.

"Perjanjian Langat 2 tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh diubah dalam apa jua keadaan sekalipun. Kedua-dua pihak perlu menghormati dan memenuhi komitmen terhadap perjanjian itu," katanya di sini, pada Jumaat.

Muhyiddin berkata demikian selepas diminta mengulas sama ada kerajaan Selangor boleh membuat perubahan terhadap perjanjian itu sekiranya Anwar memenangi pilihan raya kecil (PRK) dan dilantik sebagai menteri besar.

Pada hari Rabu, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan telah menandatangani memorandum persefahaman mengenai penstrukturan semula air di Selangor termasuk pembinaan loji rawatan air Langat 2 yang amat diperlukan rakyat.

Dibawah MoU tersebut, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air dengan kos sebanyak RM9.65 bilion sebagai pampasan.

Kerajaan Persekutuan juga bersetuju untuk membenarkan kerajaan negeri menguruskan bekalan air di negeri ini melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad iaitu sebuah syarikat milik penuh kerajaan negeri.

Kerajaan Selangor, sebagai balasan telah bersetuju membinaan loji Langat 2 yang menempatkan loji rawatan air dan sistem pengagihan.

iklan

iklan

Iklan