X Close

Harimau Malaya Mungkin Dipimpin Kapten Baharu - Kim Swee

Diterbitkan: Rabu 12 Feb, 2014

Ong Kim Swee.

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya berkemungkinan dikemudi kapten baharu bagi menghadapi perlawanan akhir pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen pada 5 Mac ini di Dubai.

Pengendali sementara skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee yang membayangkan perkara itu berkata beliau kini sudah mempunyai beberapa pilihan pemain yang layak untuk memimpin skuad berkenaan.

"Kemungkinan besar ada pemimpin baharu dalam pasukan, ada dua atau tiga pemain yang mungkin akan jadi pilihan saya, tetapi saya masih menilai mereka sebab jika berlaku kecederaan, saya perlu mencari alternatif lain.

"Selepas perlawanan malam ini (suku akhir pertama Piala FA), saya akan keluarkan senarai penuh skuad kebangsaan, selewat-lewatnya Khamis ini.

"Mungkin tidak banyak perubahan, jika pemain tempatan yang ada tidak menunjukkan prestasi yang baik, saya terpaksa membuat pemilihan berdasarkan pengalaman," katanya ketika ditemui pemberita di Institut Sukan Negara (ISN) di sini, Selasa.

Bagaimanapun, jurulatih skuad Harimau Muda A itu berkata kapten Harimau Malaya, Mohd Safiq Rahim, antara pemain yang dipertimbangkannya kerana mempamerkan prestasi konsisten dalam beberapa perlawanan Liga Malaysia.

Skuad Harimau Malaya dijadual menghadapi perlawanan persahabatan menentang Filipina pada 1 Mac ini. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan