X Close

Piala FA: Pahang Dapat 60,000 Tiket Selaku Tuan Rumah - FAM

Diterbitkan: Khamis 30 Mei, 2013

PETALING JAYA: Sejumlah 60,000 tiket untuk aksi separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini akan diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP).

Penolong Setiausaha Agung (Tempatan) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Ahmad Fuad Daud berkata jumlah berkenaan diberikan kepada PBNP berdasarkan hak mereka selaku tuan rumah.

Perlawanan tersebut yang sepatutnya diadakan di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Isnin lepas tidak dapat diteruskan berikutan kekecohan penyokong.

Katanya, baki 20,000 tiket lagi akan dijual bermula pukul 9 pagi esok di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"(Saya difahamkan) Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) telah meminta sejumlah 40,000 tiket daripada PBNP dan itu terpulang kepada budi bicara antara kedua-dua pihak berkenaan untuk menentukan jumlah pengagihan tiket itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengelola perlawanan itu di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, Khamis.

Ditanya mengenai cadangan Presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim, semalam supaya perlawanan itu diadakan tanpa kehadiran penyokong, Ahmad Fuad berkata perkara berkenaan tidak dapat dipenuhi memandangkan ia telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM terlebih dahulu.

"Hari perlawanan juga sudah semakin hampir, maka keputusan itu tidak boleh diubah melainkan Jawatankuasa Eksekutif FAM memutuskan sebaliknya, barulah kita menerima cadangan berkenaan (bermain tanpa kehadiran penyokong)," kata Ahmad Fuad.

Menyentuh mengenai soal keselamatan pada perlawanan itu, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh yang turut hadir memberikan jaminan bahawa pihaknya akan menyediakan anggota yang mencukupi untuk memastikan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.

"Kita bagaimanapun meminta kerjasama penyokong kedua-dua pasukan ini untuk tidak membawa sebarang bahan larangan ke dalam stadium (seperti botol air dan mercun)...Kita akan melakukan pemeriksaan ketat di semua pintu masuk stadium bagi memastikan bahan sedemikian tidak dibawa masuk," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden II PBNP Datuk Akhbar V.V. Abu berkata pihaknya akan memberikan keutamaan kepada penyokong Tok Gajah untuk mendapatkan tiket berkenaan yang akan dijual bermula pukul 10 pagi esok di Stadium Darulmakmur dan Stadium Mini Temerloh.

"Mengenai pengagihan tiket kepada PBNJ, kita akan membawa perkara ini ke PBNP untuk diputuskan sebelum perlawanan ini bermula, namun saya percaya ramai penyokong kita akan hadir ke stadium bagi menyaksikan aksi pasukan Pahang," katanya.

Pada masa yang sama, Akhbar turut memberikan jaminan bahawa insiden kekecohan yang berlaku yang ditimbulkan oleh segelintir penyokong Tok Gajah sebelum ini, tidak akan berulang kembali berdasarkan rekod bersih mereka selaku tuan rumah dalam beberapa perlawanan Liga Super sepanjang musim ini.

Turut memberikan jaminan yang sama ialah Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd Fahmy Yahya yang berjanji bahawa penyokong JDT tidak akan melakukan perkara yang mampu mencetuskan kekecohan berdasarkan rekod bersih mereka selaku tuan rumah, sebelum ini.

"Saya yakin penyokong JDT bersikap profesional dalam perlawanan itu nanti dan tidak akan menimbulkan sebarang kekecohan," katanya.

Beliau turut berharap supaya PBNP dapat mempertimbangkan hasrat PBNJ mengenai permintaan jumlah tiket bagi memastikan lebih ramai penyokong Johor DT dapat menyaksikan perlawanan itu nanti.

Untuk rekod, Johor DT menang 1-0 ke atas Pahang pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lepas.

Pemenang perlawanan itu akan menentang juara bertahan, Kelantan pada final Piala FA, 29 Jun ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kelantan, yang akan membuat penampilan kali ketiga di pentas final selepas 2009 dan 2011, mara selepas menundukkan jiran mereka, Terengganu dengan keputusan agregat 6-5, Isnin lepas. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan