X Close

Atlet Johor Kuasai Hari Pertama Kejohanan Balapan Dan Padang MSSM

Diterbitkan: Isnin 20 Mei, 2013

KUANTAN: Johor membuka tirai Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke-55 di sini dengan baik apabila mendahului 16 kontinjen yang bertanding dengan memungut satu pingat emas dan satu perak sehingga 5 petang pada Ahad.

Pingat emas Johor disumbangkan Muhammad Nur Hafiz Ahmad menerusi acara Lompat Kijang dengan catatan 14.68 meter menewaskan atlet Kuala Lumpur, Muhammad Qayyum Mohd Izlan (14.36 m) dan Nik Fariezal Erman Nik Ab Hadi (14.35m).

Pingat perak Johor pula diperoleh menerusi acara Rejam Lembing (perempuan 15 tahun) yang disumbangkan Siti Aisyah Nora Rahis dengan jarak rejaman 33.74 m.

Pahang selaku tuan rumah kejohanan mengekori rapat apabila memungut satu pingat emas dalam acara Lontar Peluru (perempuan 18 tahun) sumbangan atlet Chin Poh Kuan dengan jarak lontaran 10.95m.

Pulau Pinang dan Selangor masing-masing turut memenangi satu pingat emas dengan atlet Pulau Pinang J. Pavithraa mencipta rekod baru kejohanan bagi acara Rejam Lembing (perempuan 15 tahun) dengan catatan 36.70 meter manakala Selangor memperoleh emas menerusi acara Lompat Jauh (perempuan 15 tahun) sumbangan Malisha Nurkamaliah Mustaffa Kamal.

Sementara itu, sebanyak 14 penentuan akhir akan berlangsung malam ini bagi 14 kategori dalam acara Lempar Cakera, Lompat Kijang, Lompat Tinggi, Lontar Peluru, 100 meter dan 800 meter yang bermula 8 malam di Stadium Darul Makmur.-BERNAMA

iklan

iklan

Iklan