X Close

PSM Setuju Tanding Di DUN Kota Damansara, Parlimen Sungai Siput Guna Lambang PKR

Diterbitkan: Rabu 17 Apr, 2013

KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencapai kata sepakat bahawa PSM akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara dan Parlimen Sungai Siput dengan menggunakan lambang PKR.

PSM berkeras mahu bertanding di kedua-dua kerusi itu menggunakan lambang parti itu sendiri tetapi PKR merayu agar mereka menggunakan lambang PKR atau berdepan pertembungan tiga penjuru.

"Selepas mempertimbangkannya dengan cita-cita besar dan kepentingan awam, PSM bersetuju untuk menggunakan logo PKR," kata Setiausaha Agungnya, S.Arutchelvan dalam satu kenyataan media, awal pagi Rabu.

Kedua-dua kerusi itu dimenangi oleh PSM pada pilihan raya umum 2008.

Beliau berkata, berdasarkan perjanjian itu, PSM hanya akan bertanding menggunakan lambang PKR pada pilihan raya umum 5 Mei ini tetapi akan dibenarkan menggunakan lambang sendiri pada pilihan raya umum seterusnya.

"Selain itu, terdapat juga perjanjian bahawa PSM akan dibenarkan beroperasi sebagai parti bebas tanpa dikenakan sebarang syarat dari PKR," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PSM, Dr Mohd Nasir Hashim pada Rabu berkata, Arutchelvan akan bertanding di kerusi DUN Semenyih menggunakan lambang parti itu sendiri, sekali gus menjadikan saingan tiga penjuru di kawasan tersebut.

iklan

iklan

Iklan