X Close

PRU-13: Wan Azizah Perlu Penuhi Syarat Tanding DUN Selangor

Diterbitkan: Jumaat 29 Mac, 2013

Dr Wan Azizah Wan Ismail.

PETALING JAYA: Hasrat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk bertanding di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor masih samar terutamanya mengenai status dan kelayakannya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, Wan Azizah perlu memenuhi syarat yang ditetapkan terutamanya berhubung alamat kad pengenalan atau MyKad seperti yang direkodkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurut beliau, syarat seseorang bakal calon bertanding di mana-mana kerusi DUN di sesebuah negeri ialah perlu mempunyai kad pengenalan yang beralamat di negeri yang ingin ditandinginya itu.

"Alamat kad pengenalan bakal calon itu mestilah didaftarkan di negeri berkenaan (negeri yang ingin ditandingi). Itu adalah syarat asas yang perlu dipatuhi.

"Selain itu syarat lain yang berkaitan ialah pencadang dan penyokong bakal calon berkenaan mestilah menjadi pengundi di sesuatu DUN tersebut," katanya kepada mStar Online pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai hasrat Wan Azizah yang membayangkan kemungkinan akan bertanding di kerusi DUN Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Ditanya sama Wan Azizah perlu menjadi pengundi di DUN yang bakal ditandinginya nanti, Abdul Aziz berkata tiada syarat seperti itu terkandung dalam Akta dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya.

"Tak semestinya beliau jadi pengundi di sesuatu kawasan DUN itu untuk membolehkan beliau bertanding. Bagi kerusi DUN, cukup jika mempunyai alamat di mana-mana tempat di negeri itu.

"Bagi yang nak bertanding di kerusi Parlimen pula, syaratnya beliau mestilah mempunyai kad pengenalan yang beralamat di mana-mana kawasan dalam negara," katanya.

Pada Pilihanraya Umum 2008, Dr Wan Azizah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 13,388 undi, mengatasi calon Barisan Nasional, Datuk Pirdaus Ismail.

Bagaimanapun, beliau meletak jawatan pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Presiden PKR itu layak bertanding kerusi DUN kerana Perlembagaan Persekutuan hanya melarang beliau kembali bertanding kerusi Parlimen dalam tempoh lima tahun selepas meletak jawatan.

iklan

iklan

Iklan