X Close

Tun Dr Mahathir Mohamad Bercakap Tentang Perpaduan, PRU-13 Dan Ekonomi

Diterbitkan: Sabtu 16 Feb, 2013

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad masih cergas dan terus bekerja walaupun sudah hampir 10 tahun bersara daripada jawatan Perdana Menteri Malaysia.

Pada usia hampir menjangkau 88 tahun pada 10 Julai ini, beliau masih ke pejabat pada setiap hari bekerja manakala pada hujung minggu, menyampaikan ucapan apabila menerima jemputan.

Selain itu, beliau turut menulis di dalam blognya, CheDet, dan menyumbang artikel kepada akhbar The News Straits Times dan Utusan Malaysia.

Dalam temu bual dengan wartawan Bernama, Abdul Aziz Harun, Massita Ahmad, Zairulliati Mali dan Prem Kumar Panjamorthy di pejabatnya di sini baru-baru ini, Dr Mahathir berkongsi pandangan dan harapan beliau mengenai pentingnya perpaduan kaum di Malaysia, pilihan raya umum akan datang serta soal ekonomi. Berikut petikan temu bual tersebut:

Soalan: Tun nampak sihat. Bagaimana Tun meneruskan kehidupan ini sebab selepas 10 tahun bersara, Tun nampak masih aktif?

Tun M: Umumnya saya masih boleh bergerak, boleh bercakap, boleh main kuda pun, tapi memanglah bila dah tua adalah masa-masa sikit sebanyak, penyakit, batuk penat, itu semua biasa saja. Tapi tentang nak buat kerja saya buat kerja macam biasa. Saya datang pejabat tiap-tiap hari bekerja bahkan hujung minggu pun saya dijemput untuk bersyarah jadi saya kerja sepenuh masa. Alhamdulillah saya masih boleh.

Soalan: Ada sesetengah orang bila bersara, mereka bersara terus tapi Tun masih aktif, adakah Tun ada sasaran yang nak dicapai?

Tun M: Dulu masa saya jadi doktor saya nasihat sesiapa yang bersara supaya terus aktif kerana kalau kita bersara, lepas tu kita tak buat apa-apa kita akan dapat penyakit. Ini saya perhatikan, saya nampak, saya lihat. Ramai yang bila bersara dia tarik diri dari masyarakat dia tak boleh nak sihat. Sebab itu saya terima nasihat saya sendiri, iaitu bila bersara mesti terus aktif dan minat saya masih dalam bidang politik, sebab itu saya masih aktif dalam politik. Pasal saya nak jaga kesihatan saya dan saya masih berminat dengan politik yang berlaku dalam negara kita.

Soalan: Apa aktiviti Tun selain politik?

Tun M: Saya baca buku banyak, saya tulis itu ini, saya ada blog, saya tulis juga artikel untuk (The New) Straits Times, untuk Utusan Malaysia, dan saya dapat surat banyak dari luar negeri saya cuba jawab. Selain itu ramai yang datang berjumpa dengan saya dari dalam dan luar negeri dan setakat yang saya ada masa saya cubalah berjumpa dengan orang. Itulah aktiviti saya. Saya juga cuba bersenam sikit, buat 'treadmill', kadang-kadang angkat dumbel, naik kuda, berjalan, itu biasa sajalah.

Soalan: Dalam setiap pilihan raya, keadaan bagi parti bertanding adalah menentukan hidup atau mati". Dalam pilihan raya akan datang, adakah keadaan yang sama?

Tun M: Keadaan berbeza. Keretakan di kalangan masyarakat umumnya sudah jadi lebih mendalam. Di masa saya dulupun terdapat juga pembahagian terutamanya di kalangan orang Melayu kepada parti-parti yang berlainan tapi umumnya sokongan kepada Umno begitu kuat dan ramai yang lebih berminat untuk menyokong Umno daripada parti-parti lain. Apabila ada serpihan pun macam Tengku Razaleigh (Hamzah) menubuhkan parti Semangat 46 mereka tak dapat tarik banyak ahli Umno. Datuk Seri Anwar (Ibrahim) lebih berjaya sikit tapi masih lagi tak dapat mengalahkan Umno. Sebab itu pada tahun 1999 kemenangan BN masih lagi tinggi walaupun ramai juga orang Melayu yang berpendapat bahawa Anwar telah dianiaya dan dengan itu mereka tak sokong tapi orang Cina sokong dengan cukup kuat, kita masih dapat dua pertiga. Tapi selepas itu kita dapat pemerintahan tidak menumpu kepada keperluan rakyat, sebaliknya lebih utamakan memperkayakan diri dan sebagainya. Pemimpin juga begitu, pemimpin di semua peringkat pun masing-masing nak cari peluang daripada politik untuk nak isi poket. Dengan itu orang pun mula hilang kepercayaan. Hari ini kita dapati kepercayaan itu belum kembali sepenuhnya. Tapi (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang ni cuba memulih semula dan sedikit sebanyak dia berjaya.

Soalan: Pengundi bawah umur 40 tahun adalah pengundi muda. Senario sebelum ini macam mana? Sebab ada yang kata 40 peratus daripada pengundi sekarang berumur bawah 40 tahun. Sebelum ini golongan muda macam mana sokongan dia pada kerajaan?

Tun M: Dulu golongan muda pun dia dapat melalui zaman dulu dan zaman sekarang. Umpamanya golongan muda dulu melalui zaman yang mana tidak banyak pembangunan di Malaysia bahkan kita dianggap sebagai negara membangun yang daif dan miskin. Dan mereka melihat perubahan yang berlaku dan mereka menghargai perubahan yang berlaku di zaman mereka. Sebaliknya pemuda sekarang ini mereka dilahirkan setelah negara sudah maju. Bagi mereka memanglah negara ini begini. Dia tidak pernah mengalami keadaan yang mana negara miskin, mereka tidak ada peluang bekerja, tak dapat peluang belajar, tak dapat peluang untuk menjadi ahli profesional. Dulu tiada. Sekarang ni ini dianggap sebagai perkara biasa. Dan bila kita anggap sesuatu sebagai perkara biasa kita tidak begitu menghargai. Kita menghargai bila kita dapat sesuatu yang kita tak pernah dapat. Tapi mereka dilahir di zaman negara kita sudahpun maju dan bagi mereka ini memang keadaan biasa. Jadi dengan itu mereka tidak menghargai sebaliknya mereka terdedah dengan pengaruh-pengaruh dari Barat umpamanya berkenaan kebebasan dan macam-macam lagi dan mereka berpendapat mereka belum cukup bebas. Masih lagi tersekat dalam perkara itu dan ini. Mereka lihat di barat sana semuanya bebas, apa juga boleh lakukan, ini yang menyebabkan mereka berasa tidak puas hati lagi. Mereka nak kebebasan yang lebih lagi, yang bertambah dan sebagainya, dengan itu mereka ingin melihat perubahan berlaku. Bagi mereka perubahan akan datang hanya kalau parti lawan menang. Pasal parti lawan ini janji untuk membawa perubahan. Apa juga yang dikatakan oleh pihak BN umpamanya tidak berkesan. Walaupun benar dan nyata tapi tak berkesan kerana mereka taksub dengan kepercayaan bahawa perubahan pemerintahan akan membawa perubahan dalam kehidupan mereka. Sebab itu keadaan sekarang berbeza dari dulu.

Soalan: Pendekatan yang diguna pakai Datuk Seri Najib mungkin berbeza dari dulu untuk mendekati orang muda, adakah pendekatan itu nampak berjaya?

Tun M: Ada kejayaan tapi tak mencukupi kerana kedudukan parti sudah jadi begitu, dalam persepsi orang, kurang baik. Sebab itu susah untuk mendapat balik sokongan.

Soalan: Mungkin ada banyak yang perlu dilakukan oleh Datuk Seri Najib?

Tun M: Dia pun tak ada masa banyak dah, tak lama lagi nak ada pilihan raya, nak buat apa dah. Bila-bila masa, jadi nak kena turun, nak jumpa seberapa banyak rakyat apa semua, susah. Jadi, ada la masalah. Masing-masing akan keluarkan masalah baru dan untuk menangani masalah-masalah ini memerlukan masa, dan dia sekarang ni tak ada masa dah. Tapi saya pikir dia dah usaha secukup mungkin. Dia bekerja keras.

Soalan: Pengalaman Tun sendiri macam mana? Bila tiba pilihan raya, nampak banyak tuntutan daripada dalam parti sendiri dan dari luar BN. Mereka macam mengambil peluang ketibaan pilihan raya ini untuk membuat tuntutan?

Tun M: Masa saya dulu orang tak tahu bila pilihan raya nak ada, jadi dengan itu belum mereka buat tuntutan kita ada pilihan raya. Tapi bila kita tunggu sampai dah nak saat terakhir yang mana kita terpaksa bubar Parlimen, tidak ada elemen kejutan lagi. Jadi semakin dekat pilihan raya semakin banyaklah tuntutan.

Soalan: Tapi Datuk Seri Najib perlukan masa?

Tun M: Ya, saya percaya dia perlukan masa.

Soalan: Tuntutan agak drastik daripada bukan Melayu, macam mana Tun lihat dia boleh buat keseimbangan untuk memenuhi tuntutan dari dalam parti yang diterajui dan dari luar parti?

Tun M: Kita berada dalam keadaan serba salah. Tuntutan yang dibuat parti lawan menyentuh kedudukan orang Melayu umpamanya. Bila orang Melayu nak jawab, kalau tak pandai jawab, dia nampak seperti rasis. Dia terlalu utamakan bangsa daripada bangsa Malaysia jadi kita dapati orang Melayu tak dapat nak menjawab kerana takut dituduh. Dengan itu mereka cuma berasa marah. Mereka tak dapat lawan apa, mereka marah tapi itu tidak begitu berkesan. Inilah jadi masalah bagi orang Melayu dan masalah juga bagi kaum-kaum yang lain kerana kita lihat sekarang ni perpecahan antara kaum lebih ketara daripada di zaman dulu.

Soalan: Mungkin ini program sentuhan hati yang perlu ditangani Datuk Seri Najib, perlu berusaha lebih ke arah perpaduan?

Tun M: Yalah kita ada 1Malaysia dan sebagainya tapi itu sebagai slogan. Kita harus dapat sambutan daripada semua kaum tapi saya perhatikan sambutan itu datang lebih daripada orang Melayu saja.

Soalan: Jadi masih banyak yang perlu dilakukan untuk bukan Melayu? Bila dilakukan banyak untuk bukan Melayu, tuntutan dalam parti pun memuncak?

Tun M: Saya fikir tuntutan daripada bukan Melayu dah banyak layanan dah bagi. Tapi bila mereka berpendapat mereka akan menjadi penentu dalam pilihan raya ni, akan mereka timbul lagi macam-macam tuntutan.

Soalan: Perpaduan dalam parti macam mana, sebab sebelum ini nampaknya kekalahan BN disebabkan dalam parti bukan kekuatan lawan?

Tun M: Saya ingat keadaaan reda sedikit. Kalau dulu memanglah kalau tak dapat jadi calon, akan menentukan calon yang dipilih akan kalah. Tapi nampak sekarang ini kurang sikit. Ada pengakuan mereka tidak akan cantas, mereka tidak akan sabotaj, tapi kita tunggulah sehingga pilihan raya nak tau sama ada betul mereka pegang kepada janji-janji mereka atau tidak.

Soalan: Nasihat Tun kepada mereka?

Tun M: Mereka harus ingat kalau amalan cantas-mencantas ini diteruskan kalau mereka jadi calon pun mereka akan kalah, akan dicantas juga. Yang penting bukan mereka menang, yang penting parti menang. Untuk parti menang maka calon-calon parti mestilah diberi kemenangan. Sama ada suka tak suka itu soal lain, pasal dia calon parti kita. Kalau kita tak bagi dia menang maka parti akan kalah. Parti akan kalah kedudukan kita tetap akan terancam.

Soalan: Mesej Tun kepada pengundi Cina?

Tun M: Selama kita Merdeka sejak tahun 1957, kerjasama antara Melayu-Cina-India MCA-Umno-MIC-Gerakan ini telah membawa banyak kemajuan bagi negara kita. Dia menyebabkan negara kita jadi stabil. Sebabnya ialah kerana ketiga-tiga kaum ini bersetuju untuk kongsi kuasa. Kerana kita berkongsi, bukan Umno ambil semua untuk Umno ataupun MCA ambil semua untuk dia, tapi kita sanggup kongsi. Kerana kita sanggup kongsi maka negara kita tidak memperlihatkan huru hara, dan dengan itu negara kita dapat dimajukan. Kalau hari ini masing-masing kaum nak semua yang mereka tuntut, dan ini sudah tentu kaum-kaum yang lain akan berasa tidak puas hati, maka kestabilan negara akan tergugat dan kalau kestabilan negara tergugat kemajuan tidak akan tercapai, ekonomi tidak dapat tumbuh dan kita semua tidak akan dapat nikmat. Ini patut semua kaum faham terutama orang Cina yang berniaga. Mereka tak akan boleh berniaga dalam keadaan rusuhan kaum berlaku.

Soalan: Di Kedah macam mana peluang BN?

Tun M: Di Kedah dulu kita tak pernah kalah sehingga tahun 2008. Biasanya kita menang dua pertiga di Kedah. Tetapi timbul perasaan kecewa dan tidak puas hati di kalangan majoriti penduduk Kedah iaitu orang Melayu. Mereka kecewa dan mereka membuat keputusan untuk tidak menyokong BN. Mereka mengundi parti lawan walaupun kata mereka pedih, sakit nak undi parti lawan. Tapi saya dapati sekarang ini mereka sudah kembali percaya kepada BN dan saya yakin besar kemungkinan BN akan menang di Kedah.

Soalan: Timbul persoalan siapa MB Kedah nanti?

Tun M: Siapa MB itu tak penting. Yang penting ialah kemenangan. Kalau tak menang siapa pun tak boleh jadi MB. Kalau dok main cantas, kalah parti takdakla MB. Boleh jadi ketua pembangkang, sekarang ini kita ada ketua pembangkang di Kedah. Kalau nak dia kekal jadi ketua pembangkang, cantaslah.

Soalan: Timbalan Perdana Menteri Thailand dikatakan bertemu Tun di Langkawi untuk cari keamanan di selatan Thai. Adakah berlaku pertemuan itu?

Tun M: Saya ada berjumpa dengan Gabenor tapi saya tak bincang khusus berkenaan perkara ini. Sebaliknya kita dapati kerajaan mereka memang nak keamanan tercapai di selatan Thai tapi ia bukan mudah kerana orang-orang yang memberontak di selatan Thai ini berpecah. Kalaupun ada yang bersetuju supaya dihentikan rusuhan, ada pihak yang tak bersetuju. Jadi sementara orang ini mungkin tandatangan persetujuan, yang lain mungkin akan melakukan serangan bom dan sebagainya. Ini yang jadi masalah di selatan Thai. Kalau mereka ada satu badan saja yang berjuang dan keputusan dibuat oleh badan itu, kita dapat tamatkan rusuhan tapi setakat ini setakat yang saya tahu mereka berpecah kepada puak-puak dan kadang-kadang orang individu sendiri yang ambil tindakan.

Soalan: Tapi adakah wakil daripada pihak kerajaan Thailand datang jumpa Tun baru-baru ni?

Tun M: Adalah jugak.

Soalan: Jadi bolehkah Malaysia memainkan peranan seperti di Filipina, dengan menghimpunkan puak-puak yang ada kepada satu?

Tun M: Ini sebenarnya masalah dalam negeri Thai, jadi kita tak boleh langsung aktif. Namun demikian ada orang-orang ini yang kadang-kadang menyeberang masuk Malaysia. Jadi kita mungkin boleh cuba pujuk mereka supaya menamatkan perjuangan yang tak mungkin selesai ini kerana tak mungkin mereka dapat kebebasan. Itu yang patut mereka terima. Kalau mereka nak hantuk kepala di dinding sampai pecah kepala tak ada apa nak dapat. Jadi kita kena terima realisme, benda yang benar.

Soalan: Untuk menjadi sebuah negara maju pada 2020, kita perlu mencapai KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) purata enam peratus setahun. Namun pada tahun lepas dan pada tahun ini, dijangka KDNK akan berkembang sekitar empat hingga lima peratus sahaja. Adakah ini akan menjejaskan sasaran menjadi negara maju itu?

Tun M: Kalau kita tidak capai enam peratus tiap tahun dari segi angka mungkin kita tidak capailah. Tapi kita berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan negara maju adalah dalam acuan kita sendiri. Yang penting rakyat dapat kemudahan-kemudhaan infrastruktur tidak terhad kepada bandar-bandar sahaja tetapi di kawasan luar bandar juga. Kalau kita ambil kira sekarang ini di Kuala Lumpur sudah pun sampai ke tahap negara maju tetapi kita perlu tumpu kepada kawasan-kawasan yang terpencil.

Soalan: Adakah kadar nisbah hutang kepada KDNK pada tahap 53 peratus dianggap masih "sihat"?

Tun M: Saya ingat masih lagi sihat. Pendapatan kita masih meningkat. Dagangan kita masih positif. Jadi walaupun kita kira 50 peratus kita harus ingat negara seperti Greece umpamanya hutang dia lebih dari 100 peratus. Dia tidak mungkin bayar. Kita masih boleh bayar. Kita masih boleh bayar dan sekarang ini kita nampak pelaburan keuntungan tinggi. Dulu masa saya dulu Maybank untung RM300 juta kita anggap besar. Sekarang Maybank untung RM6 bilion.

Soalan: Adakah dagangan kita masih bergantung kepada Barat.

Tun M: Kita tidak lagi bergantung kepada Barat. Barat sudah merosot. Eksport kita ke Barat pun tidak boleh meningkat dan Barat juga tidak mampu untuk melabur sekarang ini. Kita lihat pelaburan datang dari Timur dan dagangan kita dengan Timur pun meningkat. Dagangan kita dengan negara China umpamanya sudah baik cukup tinggi. Dagangan kita dengan Asean juga meningkat. Jadi kita tidak perlu nilai kemajuan ekonomi negara kita berasas kepada Barat. Sebaliknya kita ambil keseluruhan dunia dan daripada segi keseluruhan dunia kita dapati bahawa eksport kita masih meningkat, lebihan kita masih meningkat. BNM (Bank Negara Malaysia) mempunyai simpanan sebanyak US$42 bilion...dulu masa saya US$30 bilion sahaja. Simpanan kita memang besar...simpanan kita tinggi...umpamanya di Tabung Haji. Kita ada simpanan dalam PNB (Permodalan Nasional Bhd)...simpanan macam-macam. Lagi badan termasuk juga macam Felda. Ini simpanan cukup besar. Kita ada simpanan yang cukup besar...cukup tinggi.

Soalan: Tun pernah mengatakan negara akan muflis jika kenaikan gaji tidak seiring dengan produktiviti. Kerajaan hari ini telah menaikkan gaji penjawat awam dan menekankan tentang KPI (Petunjuk Prestasi Utama). Adakah Tun masih berpegang kepada kenyataan Tun sebelum ini?

Tun M: Saya masih berpendapat kenaikan gaji mesti disertai dengan produktiviti kalau tidak kita punya kos tinggi. Kita tidak lagi kompetitif dalam pasaran dunia. Sebaliknya negara kita adalah negara dagang yang kemajuannya bergantung kepada dagangan. Kalau kita tidak bersaing dengan negara-negara lain maka sudah tentu prestasi ekonomi kita akan merosot sebab itu amat penting kenaikan gaji diimbangi dengan kenaikan produktiviti. Juga kita perlu ingat bahawa bila kita naik gaji kosnya cukup tinggi kerana...umpamanya kita ada gaji minimum. Gaji minimum ini kita nak tentukan kita kena kaji dengan cukup mendalam pasal bila kita naik satu orang...katakanlah gaji dia RM700 kita naik RM900...orang yang mendapat RM900 sekarang ini dia tengok orang di bawah naik gaji sama dengan dia...dia tidak puas hati...dia nak naik juga. Bila dia naik orang lain di atas dia pula berasa tidak puas hati. Sampai ke atas sekali. Bermakna bukan naik RM200 saja...ini naik berjuta-juta kerana seluruh skim gaji perlu disesuaikan dengan kenaikan gaji minimum.

Soalan: Dalam Proton, Tun pernah berkata bahawa Proton tidak akan mengeluarkan kereta murah lagi, jadi adakah ini bermakna harga kereta itu akan naik atau ia datang bersama kualiti?

Tun M: Ia akan naik, tetapi di samping itu, kualiti kereta itu akan ditingkatkan, seumpamanya Preve yang baru kita lancar ini, dia dilancar pada masa ia belum sedia dilancar, dengan itu, kereta 1,000 pertama yang dilancar itu mempunyai banyak masalah, tetapi pengurusan Proton sekarang ini sudah mengenal pasti masalah ini dan betulkan, jadi ia adalah satu kereta yang mempunyai teknologi tinggi yang lebih kurang sama dengan kereta-kereta yang lain. Jadi saya harap gambaran pertama berkenaan dengan Preve ini dapat dihapuskan, dan mereka akan menggunakan Preve ini kerana fungsinya cukup baik dan tidak seperti masa ia dilancarkan.

Soalan: Pada masa ini Tun adakah Proton akan kembali dibanggakan kerana sekarang ini jenama-jenama seperti Toyota, Honda telah mengambil alih TIV?

Tun M: Saya mendapati bahawa kita sahaja amalkan dagangan terbuka ini, kita buka negara kita kepada import tambahan, dengan itu kereta dari negara asing masuk, mereka dikeluarkan oleh syarikat-syarikat gergasi yang mana overhed mereka sudah pun dihapuskan, ia dah pulih semua, jadi dia boleh jual dengan harga murah di sini kerana pasal dia dah dapat balik dah pelaburan dia, melunaskan sepenuhnya pasal dia keluar katalah satu satu unit, dia keluar satu juta biji, dijualnya di negara lain apa semua lebih daripada 900,000 kereta dan di Malaysia dia jual 50,000, ini dia kurangkan separuh harga pun dia masih untung, tapi Proton tak boleh buat macam itu kerana kita keluar 150 biji kereta, bermacam-macam model, kita punya kos overhed sangat tinggi, kalau kita disuruh bersaing dengan pengeluar kereta daripada negara maju, sudah tentu kita tak mampu, sebab sekarang jualan Proton dia turun dari 80 peratus kepada 26 peratus dan kita dapati orang Malaysia sendiri tidak percaya kepada Proton, kalau harga murah pun mereka tak beli juga, kalau kualiti baik pun mereka tak beli pasal masing-masing nak beli kereta import sebab ada jenama import dengan dia punya reputasi dia lebih baik lah, tapi kalau kita nak bagi maju kalau pasaran sendiri tak menolong kita, mustahil kita boleh dapat bantuan daripada pasaran lain.

Soalan: Jadi adakah ini bermakna bahawa Proton harus fokus kepada pasaran eksport?

Tun M: Ya, kita mesti, dan akan pergi ke pasaran eksport, ini memang rancangan kita, pasal pasaran domestik ini kecil, kalau kita nak keluar kata lah 500,000 setahun, kita mesti pasaran eksport, tetapi di masa yang sama kita punya pasaran domestik mestilah menerima kita kalau kita buka negara kita kepada import begitu banyak, walaupun Proton mengeluarkan kereta yang berkualiti dan harganya murah, tetapi kereta asing ini dia jual banyak mana pun, dia boleh turun harga RM10,000, Proton tak mampu, kerana dia untung di tempat lain, dia nak bagi turun harga di sini supaya dia dapat menembusi pasaran, itu mudah bagi dia.

Soalan: Dan bagaimana pula dengan inisiatif hijau?

Tun M: Yang inisiatif hijau sebenarnya kita banyak bercakap mengenai inisiatif hijau, kebanyakan orang tak sedar. Sebenarnya semua jenis kereta gagal. Yang membuat kereta elektrik dari negara-negara maju, semuanya gagal, semuanya tak boleh capai sasaran yang ditentukan, jadi kita sedang berusaha, tapi kita juga tak capai, demikian juga dengan apa nama hibrid. Hibrid pun belum maju dan kos bateri kadang-kadang begitu tinggi sehingga satu jenama itu, kos kereta itu empat kali ganda kereta besar itu yang pakai elektrik, empat kali ganda... siapa nak beli? Sebab itu sehingga sekarang walaupun ada subsidi kerajaan masih tak laku, yang ini kebanyakan daripada wartawan Malaysia pun tak tahu, tetapi sepatutnya buat kajian tengok apa jadi kepada syarikat-syarikat yang mengeluarkan kereta elektrik seumpamanya dia boleh jual. Apa dia punya harga pasal kos bateri sangat tinggi? Satu bateri RM1,000, kalau kita pakai 24 bateri RM24,000, itu kos bateri sahaja, kadang-kadang lebih daripada itu. Jadi soalnya kalau kita nak hijau kita kena bayar, tapi siapa nak bayar, dia tengok oh ini pasal lebih baik bayar, ...ICE punya kah, injin 'internal combustane'.

Soalan: Tun pergi (lawat) LIMA (Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi) tahun ni?

Tun M: Kena pergila...saya seronok tengok kapal terbang.

Soalan: Anda akan mencapai umur 88 tahun ini, dan biasanya bagi orang Cina angka 88 itu ong (bertuah). Jadi apa harapan Tun untuk tahun ini?

Tun M: Tak tahulah ong tak ong yang tau saya dah 88. Berapa lama lagi ada itu tak tahulah itu yang penting. Orang tua dia pi lah. Orang muda pun kadang-kadang pergi dulu tapi orang tua dia tetap tak boleh lari.

Soalan: Tun masih aktif. Dah 10 tahun bersara tak nampak menurun.

Tun M: Selagi kita sihat, boleh buat kerja, duduk melengung di rumah apa buat.

Soalan: Pasal pilihan raya...macam mana dengan Pas?

Tun M: Dia boleh balik sertai dengan Umno tapi kena diperbetulkan. Macam dia panggil 3 juta ahli Umno ni kafir, murtad, takkan kita nak kerja dengan orang yang panggil kita murtad. Dia kena pegang kepada ajaran Islam. Itu bukan asas ajaran Islam. Dalam Islam kamu tak boleh kafir orang dengan mudah. Dalam Islam mesti adil, adil bermakna kamu kena hukum setelah mendengar semua bukti-bukti kata orang ini kafir. Ini dengan sewenang-wenangnya (Menteri Besar Kelantan Datuk) Nik Aziz (Nik Mat) kata orang Umno semua kafir. Kita ada 3 juta orang Umno. Bolehkah dengan begitu saja kata orang kafir. Saya ni kafir? Sekarang ni ada buku keluar (bertajuk) Kafirkah Aku? Ini semua politik. Ini politik nak menang pilihan raya. Supaya pengikut dia anggap saya ni kafir.

Soalan: Pengaruh (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) macam mana?

Tun M: Anwar cuma nak jadi Perdana Menteri. Dia tak kira apa. Dia punya jiwa pun dia jual. Asal jadi Perdana Menteri ja. Dia buat (parti) Keadilan bukan pasal keadilan, pasal nak jadi Perdana Menteri. Kalau dia Perdana Menteri adillah tu. Macam mana pun takpalah.

Soalan: Tapi kenapa dalam Pakatan mereka tidak mencapai persetujuan siapa nak jadi Perdana Menteri?

Tun M: Dia bukan gabungan. Jangan lupa ini bukan satu gabungan. BN satu gabungan. Dia ada satu kepala. Kita duduk bersama dalam satu mesyuarat. Dia tak ada gabungan dia cuma pakat nak menang saja. Lepas tu bila nak jadi pemerintah, PAS cari belah sini, DAP belah sini, Keadilan dia jadi Perdana Menteri yang tu saja.

Soalan: Sokongan orang muda Tun nampak macam mana kepada Anwar atau bagaimana?

Tun M: Ada orang muda yang sedar. Tapi ada juga orang muda yang terpengaruh dengan barat umpamanya. Terlalu lama BN memerintah kita nak ubah itu saja. Pasal mereka dilahir setelah kita dah maju. Jadi dia tak tau keadaan sebelum maju jadi dia tak hargai. Dia dapat biasiswa, dia dapat pelajaran pun kerana kita. Tapi la ni orang Melayu diajar supaya jangan berterima kasih, jangan bersyukur. Terima duit RM500 tapi jangan undi, jangan kata terima kasih. Ini budaya Melayu yang baru. Jangan kata terima kasih. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan