X Close

Pemilihan Sayap Umno: Keputusan Dijangka Awal Pagi Ahad

Diterbitkan: Isnin 7 Okt, 2013 MYT 8:39:00 PM

KUALA LUMPUR: Keputusan pemilihan Umno 2013 yang dijadualkan diadakan pada 12 Oktober ini dijangka hanya dapat diumumkan pada awal pagi hari berikutnya (Ahad).

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab.Rauf Yusoh berkata, kelewatan itu dijangka kerana pemilihan tersebut melibatkan tiga sayap iaitu Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri dari 191 bahagian di seluruh negara.

"Pemilihan pada Sabtu ini sangat penting kerana perwakilan tiga sayap dari 191 bahagian akan memilih calon.

"Ini berbeza dengan pemilihan Majlis Tertinggi (MT)," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Ab.Rauf berkata, keputusan dijangka dapat dikeluarkan sekitar pukul 1 atau 2 pagi Ahad.

"Tak mungkin pukul 9 malam atau 12 malam (Sabtu).

"Keputusan untuk tiga sayap adalah keputusan yang besar dan banyak," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, setiap keputusan akan disahkan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Pemilihan Umno sebelum diumumkan kepada pihak media melalui 'score board' khas yang disediakan.

"Kita jangka keputusan akan diterima setiap dua atau tiga jam sekali.

"Bagi pemilihan MT pun lebih kurang sama. Saya harap pengamal media dapat patuhi peraturan dan merancang gerak kerja pada hari berkenaan," katanya.

Beliau berkata, bagi melicinkan majlis pengamal media akan disediakan dengan beberapa kemudahan termasuklah pusat media.

Katanya, media yang bertugas juga dikehendaki memakai lencana khas yang dikeluarkan oleh Unit Media Umno.

Pemilihan kali ini melibatkan 146,000 ribu perwakilan yang akan memilih seramai 33,012 calon yang bertanding.

iklan

iklan

Iklan