X Close

Mat Yo Antara 37 Pemain Dan Pegawai The Red Warrior Tunai Umrah

Diterbitkan: Khamis 24 Jan, 2013

KOTA BAHARU: Bekas penyerang kontroversi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha atau "Mat Yo" adalah antara 37 pemain dan anggota pengurusan The Red Warriors yang akan menunaikan umrah pada Ramadan depan atas tajaan kerajaan Kelantan.

Pemergian mereka sebagai ganjaran atas kejayaan pasukan itu muncul juara treble dalam kejohanan bola sepak musim lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood berkata mereka akan berlepas ke Tanah Suci Mekah pertengahan Ramadan iaitu pada 7 Julai.

"Walau pun Mat Yo tidak lagi bermain dengan pasukan Kelantan kerana menyertai skuad Johor, tetapi dia tetap menerima ganjaran sama daripada kerajaan negeri kerana beliau terlibat dengan kejayaan Kelantan musim 2012," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco Negeri di sini, Rabu.

Bekas penyerang utama Kelantan yang mencetuskan isu kontroversi itu yang kini menyertai pasukan Johor, telah bersama Kelantan beberapa musim lalu sehingga mencatatkan kegemilangan.

Abdul Fatah menganggarkan lebih RM200,000 akan dibelanjakan untuk membiayai kos menunaikan umrah itu. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan