X Close

Terbuka Tenis Malaysia: Cabaran Pemain Negara Bermula

Diterbitkan: Jumaat 21 Sept, 2012

KUALA LUMPUR: Edisi keempat Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia Jelajah Dunia ATP bakal membuka tirai esok (Sabtu) bagi saingan kelayakan perseorangan yang melibatkan pemain -pemain negara di Stadium Putra Bukit Jalil.

Pemain veteran negara, Si Yew Ming dijangka menjadi tumpuan dalam acara beregu apabila digandingkan dengan pemain Taiwan, Jimmy Wang secara wild card dalam aksi undian utama kategori tersebut.

Jimmy juga turut tampil dalam acara perseorangan dengan tiket wild card bagi aksi pusingan utama undian.

Namun berbeza dengan Yew Ming yang perlu beraksi pada pusingan kelayakan perseorangan seperti tiga lagi pemain negara bagi kategori ini termasuk Ahmed Deedat Razak,Syef Agil Syed Naguib dan Mohd Assri Merzuki.

Manakala bintang tenis muda negara Ariez Elyaas Deen Heshaam mendapat kepercayaan untuk terus beraksi dalam pusingan utama.

"Tahun ketiga beraksi pada kejohanan besar ini dan saya akan cuba melakukan yang terbaik berbanding sebelum ini.

"Tahun lalu saya tewas pada pusingan pertama tetapi saya yakin dengan peningkatan permainan hasil daripada latihan serta beberapa kejohanam di peringkat Asia, harapnya dapat mara ke saingan kedua.

"Setakat ini, itu sahaja yang saya sasarkan kerana sedar dengan saingan yang menunggu berdasarkan senarai pemain-pemain yang turut sertai tahun ini," jelas pemain berusia 18 tahun ini.

Sementara itu, jurulatih tenis negara, Deen Heshaam mengakui prestasi pemain-pemain di peringkat junior amat memuaskan.

"Kejohanan ATP ini merupakan sirkit profesional dan ia sangat bagus untuk masa depan semua pemain kita.

"Semua pemain berada dalam tahap yang sama dan saya harap mereka mampu melakukan yang terbaik pada pusingan kelayakan nanti," katanya.

Dalam pada itu, Kejohanan terbuka ATP 250 tahun ini turut diserikan dengan jaguh tenis dunia melibatkan 28 orang pemain keseluruhan bagi merebut hadiah wang tunai bernilai lebih dari RM2 juta. Antara nama besar yang turut hadir termasuk David Ferrer dari Sepanyol yang kini berada di ranking ke-5 dunia, Juan Monaco (Argentina), Alexandr Dolgopolov (Ukraine) serta Kei Nishikori dari Jepun.

Jadual perlawanan:

22 dan 23 Sept:

Pusingan kelayakan perseorangan (10 pagi)

24, 25 sept

Pusingan pertama perseorangan /beregu (1ptg)

26,27 sept

Pusingan kedua perseorangan/ beregu (1ptg)

28 sept

Suku akhir (perseorangan) 2.15 ptg

29 sept

Separuh akhir beregu/perseorangan (2.15ptg)

30 sept

Akhir beregu dan perseorangan bermula 2.15 ptg

iklan

iklan

Iklan