X Close

Ibadat Puasa Dan Kepentingan Ekonomi

Diterbitkan: Khamis 9 Ogos, 2012

Ibadat Puasa, Al-Quran dan Pedoman Hidup

Allah telah memilih bulan Ramadhan untuk al-Quran diturunkan. Al-Quran adalah mujizat teragong yang Allah kurnia kepada Nabi s.a.w. untuk membimbing umat manusia. Dalam al-Quran Allah berfirman dengan maksud:

"Kitab al-Quran ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa." (Al-Baqarah: 2)

Al-Quran telah menyediakan prinsip-prinsip arahan untuk manusia memandu kehidupan diperingkat dirinya dan bermasyarakat.

Menepati semangat tersebut usaha untuk menimba ilmu dari al-Quran untuk menjadi panduan dalam kesemua aspek kehidupan patut diperlipat gandakan.

Umat Islam perlu berkeyakinan bahawa usaha mereka tidak memadai dengan membaca al-Quran sahaja di bulan Ramadhan ini. Bahkan umat Islam dituntut meningkat budaya membaca, menyelidik dan menghasilkan ramuan formula untuk menyusun kehidupan menepati arahan al-Quran semoga umat Islam sentiasa berdaya maju dan progresif.

Justeru itu usaha-usaha ke arah matlamat tersebut perlu dilipat ganda khususnya di dalam bulan Ramadhan.

Pendekatan al-Quran dalam menyusun kehidupan manusia samada diperingkat individu dan masyarakat sangat bersesuaian dengan fitrah kemanusiaan untuk mencapai kemuliaan hidup di dunia dan seterusnya di alam akhirat.

Dalam konteks tersebut salah satu aspek yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam ialah kemantapan amalan kerohaniah semoga individu Muslim dapat mendampingi dengan Penciptanya Allah s.w.t. Tujuan ini boleh dicapai melalui ibadat puasa.

Al-Quran menjelaskan kewajipan berpuasa sebagai berikut:

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Al-Baqarah: 183) Puasa Untuk Menyuci Roh Manusia

Manusia dicipta Allah dengan mengandungi roh, jasad dan akal. Kesemua keperluan untuk memaju komponen manusia ini perlu dipenuhi tanpa pengecualian dan dimajukan secara sepadu.

Allah mengingati manusia dalam al-Quran:

"dan jiwa/roh serta penyempurnaannya (ciptaannya) maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa/roh itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya."

(Asy Syams: 7-10)

Roh manusia dicipta Allah untuk membeza perkara yang benar dengan yang batil. Justeru itu kejayaan manusia akan dicapai apabila rohnya sentiasa berada dalam keadaan suci. Untuk mengenali perkara yang baik, ibadat puasa adalah di antara ibadat yang mampu mendidik roh manusia ke arah pencapaian tersebut.

Konsep meningkat kekuatan kerohaniah manusia gagal difahami oleh masyarakat sekular. Keruntuhan moral dan hilang pedoman hidup masyarakat sekular dewasa kini adalah disebabkan putusnya hubungan manusia dengan Allah s.w.t. Ibadat puasa melatih manusia menguasai dan membimbing nafsu kehaiwanannya semoga tunduk kepada sifat kemalaikatan yang terdapat dalam diri manusia.

Islam berkeyakinan bahawa kejayaan untuk membangun diri manusia, masyarakat dan negara bergantung rapat dengan ketinggian akhlak individu.

Akhlak tinggi manusia dalam ke semua aspek termasuk dalam aktiviti ekonomi dan sebagainya akan terjamin jika sifat semula jadi yang terdapat pada tiap-tiap diri manusia iaitu sifat kemalaikatan dapat membimbing sifat kebinatangan.

Contohnya, usaha untuk memaju ekonomi masyarakat perlu dicapai melalui kemantapan penghayatan akhlak. Bahkan kemantapan kerohaniah manusia akan mengurangkan ketidakadilan ekonomi dari berlaku. Roh yang suci akan mendokong usaha keadilan dalam aktiviti ekonomi bermasyarakat.

Dalam menyusun sistem ekonomi, Islam menganjur semoga prinsip keadilan dapat diamalkan. Dari pendekatan tersebut lahirlah prinsip al'adl wal ihsan diketengahkan. Dalam al-Quran Allah s.w.t. berfirman dengan maksud:

"Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan."

(An Nahl: 90)

Melalui pendekatan prinsip al `adl wal ihsan dalam penyusunan ekonomi, kestabilan dan keharmonian ekonomi mudah dicapai dan seterusnya membantu ekonomi negara mencapai pertumbuhan ekonomi secara berterusan.

Puasa Membimbing Kegiatan Ekonomi

Dari kesucian jiwa, manusia tidak gelojoh dan hilang pertimbangan dalam penglibatan mereka dalam kegiatan ekonomi. Prestasi kegiatan ekonomi yang berterusan berkualiti memerlukan penghayatan nilai hidup yang luhur secara berterusan. Justeru itu penglibatan individu dalam aktiviti ekonomi turut mengambil kira tugas dan tanggungjawab yang lain.

Aspek ekonomi di sebut dalam istilah yang positif dalam al-Quran. Tetapi berbeza dengan pendekatan ideologi sistem `materialisme' (kebendaan). Bagi Islam usaha untuk memajukan ekonomi adalah untuk meningkat kualiti kehidupan manusia. Justeru itu keperluan kepada kekuatan ekonomi adalah salah satu dimensi yang penting untuk memertabatkan ummah.

Budaya rakus kepada harta bukan pendekatan yang mampu membina daya juang yang berkekalan bahkan ia menimbul kehancuran kepada diri dan masyarakat.

Berasaskan budaya rakus akan lahirlah pegangan hidonisme iaitu memuas nafsu adalah pegangan hidup.

Pegangan hidup sedemikian adalah bertentangan dengan fitrah kemanusiaan dan seterusnya mampu menjejas prestasi ekonomi bermasyarakat dan bernegara.

Puasa Menyusun Sistem Ekonomi

Ibadat Puasa dengan itu membina keinsafan golongan berada terhadap kepahitan hidup golongan miskin. Puasa menanamkan semangat ke arah mewujudkan masyarakat penyayang dan bertimbang rasa. Allah berfirman dengan maksud:

"Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang menghardik anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin." (Al-Maa'uun: 1-3)

Justeru itu pembasmian kemiskinan mutlak adalah tanggungjawab keagamaan. Pembinaan ekonomi bermasyarakat dan bernegara memerlukan semua lapisan tenaga manusia dilibat tanpa dikecualikan. Oleh itu melalui pembasmian kemiskinan kesemua anggota masyarakat akan mampu melibat diri secara efektif dalam pembangunan ekonomi negara.

Semangat ibadat puasa turut menganjur kepada penghayatan semangat keadilan dalam kehidupan bermasyarakat, dimana segala bentuk manipulasi dan penindasan dalam kegiatan dan penyusunan ekonomi di tegah.

Semangat ini mengarah kepada penghayatan prinsip al adl wal ihsan dalam penyusunan ekonomi bermasyarakat dan bernegara.

Ibadat puasa mampu membina diri individu melalui sikap adil, muafakat dan persaudaraan.

Ciri-ciri ini adalah asas-asas penting kepada kestabilan ekonomi dan peningkatan prestasi ekonomi masyarakat.

- Artikel DIPETIK DARI LAMAN WEB www.ikim.gov.my oleh Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Datuk Nik Mustapha Nik Hassan

iklan

iklan

Iklan