X Close

PGM Rampas Rokok Tanpa Cukai Di Perak

Diterbitkan: Ahad 26 Ogos, 2012

RAMPAS... Pegawai Pemerintah Markas Operasi Polis Marin Perak, DSP Shaari Ariffin (dua, kanan) bersama tiga anggota memeriksa pelbagai jenis rokok yang dirampas dalam satu operasi di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan, Perak, Sabtu.

LUMUT: Polis Gerakan Marin (PGM) Wilayah Satu merampas 104 karton dan 220 paket rokok putih yang dijual tanpa cukai dan menahan dua individu di Sitiawan pagi Sabtu.

Yang turut dirampas ialah sebuah lori pikap. Jumlah keseluruhan rampasan yang dijalankan di bawah Operasi Landai itu bernilai kira-kira RM28,000.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Kampung Acheh, DSP Shaari Ariffin berkata mereka yang ditahan kira-kira 6 pagi itu ialah seorang lelaki dan wanita yang masing-masing berusia 50 dan 59 tahun.

"Ketika menjalankan operasi, anggota kita menerima maklumat tentang aktiviti penjualan pelbagai jenis rokok tanpa cukai di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Beliau berkata ekoran daripada itu, sepasukan anggota PGM diketuai Sub Insp Shihabuddin Yahya pergi ke lokasi untuk menyiasat.

Mereka telah memeriksa sebuah lori pikap dan sebuah warung di situ dan menemui rokok-rokok berkenaan, katanya.

Shaari berkata kedua-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 135 (1) (d) dan Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 kerana memiliki pelbagai jenis rokok tanpa cukai.

Beliau berkata lelaki tersebut ditahan bersama-sama sebahagian rokok yang dirampas, manakala wanita tersebut ditahan ketika sedang menjual rokok tersebut di warung berkenaan di tempat yang sama. -BERNAMA

iklan

iklan

Iklan