X Close

Chong Wei, Pandelela Yakin Atlet Paralimpik Mampu Lakar Kejayaan Di London

Diterbitkan: Jumaat 24 Ogos, 2012

PETALING JAYA: Pemenang pingat temasya Olimpik London 2012, Datuk Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong Pamg yakin atlet paralimpik negara akan melakar kejayaan pada temasya Paralimpik dari 29 Ogos hingga 9 Sept ini di London.

Jaguh badminton negara, Chong Wei berkata kesungguhan dan semangat atlet paralimpik negara adalah luar biasa dan berharap mereka mampu membuat kejutan di London nanti.

"Olimpik pun sudah tamat dengan satu pingat perak dan satu pingat gangsa, saya harap mereka (atlet paralimpik) dapat memberi satu kejayaan yang lebih baik di London nanti.

"Saya pernah tengok atlet paralimpik negara membuat latihan di Bukit Jalil (Majlis Sukan Negara), mereka berlatih dengan bersungguh-sungguh," katanya kepada pemberita selepas menerima ganjaran RM100,000 atas kejayaannya meraih pingat perak dalam acara badminton perseorangan lelaki pada temasya Olimpik London baru-baru ini.

Turut menerima ganjaran RM100,000 itu ialah pemenang pingat gangsa acara terjun 10 meter papan anjal wanita, Pandelela. Mereka berdua menerima ganjaran daripada akhbar The Star Publications (M) Berhad yang disampaikan oleh Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek di Menara Star, di sini Khamis.

Malaysia menghantar 23 atlet paralimpik ke London iaitu seorang atlet lawan pedang, memanah (tiga), olahraga (lapan), berbasikal (dua), powerlifting (tiga), pelayaran (dua), renang (dua) dan dua pemain ping pong.

Ratu terjun negara, Pandelela pula berharap atlet paralimpik negara tidak berasa gentar dan terus fokus untuk meraih pingat pada hari perlawanan masing-masing di London nanti.

"Saya yakin mereka mampu buat yang terbaik, mereka telah berlatih bersungguh-sungguh. Saya pernah lihat mereka membuat latihan di Bukit Jalil. Saya harap mereka tidak putus asa di sana," katanya.

Pada Sukan Paralimpik di Beijing empat tahun lepas, Malaysia yang menghantar 11 atlet dan mengambil bahagian dalam lima acara, membawa pulang satu gangsa menerusi Siow Lee Chan dalam acara powerlifting wanita bawah 56kg.-BERNAMA

iklan

iklan

Iklan