X Close

Pertikaian PAS-Karpal Mengenai Hudud Tak Akan Selesai

Diterbitkan: Selasa 31 Jul, 2012 MYT 4:54:00 PM
Dikemaskinikan: Selasa 31 Jul, 2012 MYT 4:57:57 PM

PENGERUSI DAP Karpal Singh menegaskan untuk kali yang entah ke berapa bahawa hukum hudud tidak akan terkandung di dalam kerangka dasar bersama Pakatan Rakyat (PR) iaitu Buku Jingga.

Katanya lagi, sebarang cubaan PAS untuk memperkenalkan hudud di negara ini tidak sama sekali mencerminkan apa yang diputuskan di Muktamar Agung PAS tahun lepas.

Beliau berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar ke-57 parti itu Jun tahun lepas secara umum menyatakan bahawa tidak ada disebut sebagai negara Islam dalam al-Quran tetapi negara kebajikan.

"Ini mencerminkan tanpa sedikit keraguan pun bahawa PAS telah melupakan matlamatnya untuk menubuhkan sebuah negara Islam. PAS, dengan jelas memilih sebuah negara kebajikan," kata Karpal dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam Isnin (30 Julai 2012).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan Tantawi mengenai pendirian konsisten Karpal menolak hudud.

Karpal berkata, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat pada 8 Jun tahun lepas telah menegaskan bahawa keputusan PAS mengubah fokus kepada sebuah negara kebajikan dan mengetepikan istilah negara Islam adalah langkah yang betul.

Menurut Karpal lagi, hudud tidak termasuk dalam kerangka dasar bersama PR.

"Begitu juga, ia tidak akan termasuk dalam manifesto bersama Pakatan Rakyat, tidak mungkin," tambah beliau dalam kenyataan itu. Tegas Karpal, tidak ada siapa, tidak ada parti dan tidak ada organisasi yang boleh mendakwa mempunyai monopoli terhadap Tuhan.

Dan beliau menegaskan, di sebalik penentangannya terhadap pelaksanaan hudud, beliau ingin tegaskan dengan segala kekuatan yang ada pada dirinya bahawa beliau percaya terhadap Tuhan.

Kesimpulan penulis ialah, pertikaian mengenai pelaksanaan hudud antara PAS dan Karpal mahupun DAP tidak akan berakhir.

Ini kerana kedua-dua belah pihak perlu dari semasa ke semasa menegakkan perjuangan parti masing-masing untuk memastikan mereka terus relevan kepada penyokong.

Kedua-dua belah pihak memang sedia maklum, sedar dan tahu kesan kenyataan mereka tetapi mereka tetap akan menyuarakannya mengikut pendirian masing-masing.

Mereka juga sedar yang isu hudud tidak akan terkandung di dalam pendirian bersama PR tetapi mereka akan tetap menyuarakannya - satu menentang dan satu lagi ingin melaksanakannya.

Semuanya ini adalah untuk terus kekal relevan di hati penyokong masing-masing.

Logik akal mengatakan, apa Karpal atau Lim Kit Siang tidak pernah bincangkah hal hudud ini dengan Haji Hadi dan Mustafa Ali?

Penulis rasa berkali-kali dan penulis juga rasa apabila mereka bertemu di meja rundingan, masing-masing saling menepuk bahu dan mengukirkan senyuman, bergurau senda dan sebagainya.

Tetapi di luar bilik mesyuarat, muka mesti tunjuk bengis dan reaksi badan mesti tunjuk ingin mempertahankan pendirian parti masing-masing.

Ini semua untuk apa jika bukan untuk memuaskan hati para pengikut dan penyokong di bawah.

Orang di bawah tidak tahu apa-apa. Mereka sokong parti kerana ideologi dan kepercayaan ke atas perjuangan parti.

Orang di bawah akan ingat pemimpin seperti Nasrudin Tantawi akan menumbuk meja mempertahankan hudud di depan Karpal Singh.

Apakah hakikatnya begitu?

iklan

iklan

Iklan