X Close

Pemanah Negara Atlet Pertama Beraksi Pada Sukan Olimpik

Diterbitkan: Khamis 26 Jul, 2012

LONDON: Keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan dan angin kencang di Padang Kriket Lord di sini tidak menjadi penghalang bagi pemanah negara merasai penampilan pertama pada temasya Sukan Olimpik di sini, Jumaat.

Berikutan suhu di pusat London berubah antara 15 dan 20 darjah Celcius pada waktu siang dan menjunam bawah 10 darjah Celcius pada sebelah malam, namun pemanah negara akan berusaha sebaik mungkin untuk memburu pingat pada temasya sukan terbesar dunia.

Pemanah Cheng Chu Sian, Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin akan membuka saingan pada pusingan ranking acara recurve individu dan berpasukan lelaki manakala pemanah wanita tunggal negara Nurul Syafikah Hashim pada acara recurve individu.

Jurulatih kebangsaan, Lee Jae Hyung, ketika ditemui oleh Bernama di pusat latihan di sini hari, mengakui anak buahnya berada dalam keadaan terbaik untuk memulakan cabaran.

"Kami tiba di sini pada 19 Julai lalu dan segera menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sini. Ia bukan penghalang untuk kami kerana peserta negara lain turut menghadapi keadaan sama," katanya.

Lee berkata, prestasi kesemua pemanah negara semakin bertambah baik dan tidak sabar untuk memulakan saingan pada pusingan ranking.

Beliau berkata, hanya Chu Sian mempunyai pengalaman dalam Sukan Olimpik ketika beraksi di Beijing, China, pada 2008 manakala tiga yang lain akan melakukan penampilan sulung pada sukan berprestij itu.

"Saya tidak risau dengan pasukan lelaki negara kerana Cheng boleh membimbing pemanah junior kita. Saya harap Nurul Syafikah boleh menimba pengalaman apabila bersaing dengan pemanah terbaik dunia," katanya.

Pada pusingan ranking, beliau meramal pasukan negara akan berdepan dengan cabaran sengit daripada pasukan Korea Selatan.

Mengikut ranking dunia semasa, Korea Selatan berada di tangga ketiga manakala Malaysia di tangga ke-10.

"Begitu juga dengan Nurul Syafikah yang akan berdepan dengan pemanah Korea Selatan dan pemanah India yang menggondol emas pada Sukan Komanwel New Delhi pada 2010," katanya.

Pusingan ranking esok bagi menentukan undian untuk acara utama pada hari berikutnya.

iklan

iklan

Iklan