X Close

Seladang Malaya Akan Dibebaskan Kembali Ke Hidupan Liar

Diterbitkan: Isnin 23 Jul, 2012

Seladang Malaya. - Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Selepas bertahun-tahun dibiakkan dalam kurungan, akhirnya terdapat persediaan untuk melepaskan seladang Malaya untuk kembali ke hidupan liar.

Seladang Malaya yang juga dikenali sebagai seladang hidup di Pusat Pemeliharaan Hidupan Liar Jenderak Selatan di Pahang, sebuah tempat perlindungan untuk seladang yang terletak di timur Hutan Simpan Krau.

Ketua pusatnya, Siti Masitah Abd Mutalib berkata, pusat itu pada masa ini menempatkan 35 seladang, satu spesis yang disenaraikan perlu dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Ia merupakan salah satu haiwan yang paling terancam di dunia dan menjadi sasaran pemburu kerana daging, tengkorak dan tanduknya yang sangat berharga.

Seladang Malaya dewasa bersama anak seladang. - Gambar hiasan.

Siti Masitah berkata, pusat itu akan memulakan fasa seterusnya dengan persediaan untuk membebaskan haiwan itu untuk kembali kepada habitatnya di hutan semula jadi.

“Kami masih dalam proses penyesuaian. Biasanya kami memberi mereka pelet makanan dan rumput, tetapi kami menempatkan ia di satu sudut untuk mereka mencari makanan,” katanya dalam satu temu ramah baru-baru ini di pusat perlindungan itu.

Beliau berkata, penyesuaian itu merupakan proses yang lama, bermula sejak tahun 2010.

Beliau berkata, dua seladang, satu jantan dan betina, pada mulanya telah dilepaskan ke dalam hutan simpan itu tetapi dijumpai kembali ke pusat perlindungan kerana belum dapat menyesuaikan diri.

“Kami akan cuba melepaskan lebih banyak lagi menjelang September ini. Kami akan memantau perkembangan mereka menerusi kolar radio dan melihat bagaimana mereka melaluinya.

“Saya amat teruja mengenai fasa baru ini kerana kami akhirnya dapat melihat hasil daripada usaha kami,” katanya.

Pusat itu ditubuhkan pada awal tahun 1980-an untuk memelihara haiwan terancam dan menghantar sebahagian besarnya ke pusat pemuliharaan dan zoo untuk tujuan penyelidikan.

iklan

iklan

Iklan