X Close

Bas Ekspres Terbalik Di Lebuh Raya PLUS, 11 Cedera

Diterbitkan: Isnin 2 Jul, 2012

KUALA LUMPUR: Sebelas penumpang cedera, dua daripadanya parah, selepas bas ekspres yang mereka naiki terbalik ketika dalam perjalanan ke Alor Setar, Kedah di Kilometer 457.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berdekatan Restoran Jejantas Sungai Buloh di sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata bas itu, yang membawa 28 penumpang dari terminal Pudu Sentral di sini, terbabit dalam kemalangan itu ketika hujan lebat kira-kira 3 petang.

Beliau berkata pemandu bas itu mendakwa kemalangan berlaku setelah dia cuba mengelak sebuah lori yang memasuki laluannya secara tiba-tiba.

"Ketika mengelak, pemandu bas ekspres itu gagal mengawal bas menyebabkan kenderaan itu terbabas ke laluan kanan lalu melanggar besi pembahagi di tengah lebuh raya sebelum terbalik di laluan paling kiri," katanya ketika dihubungi.

Arjunaidi berkata bagaimanapun, beberapa penumpang bas itu menyatakan pemandu berkenaan memandu dengan laju sebelum kemalangan berlaku.

Beliau berkata semua penumpang yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan manakala pemandu bas berusia 30 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan, termasuk menjalani ujian air kencing dan darah.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan laju hingga menyebabkan kecederaan. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan