X Close

Anak-anak Harus Diajar Hidup Berdikari

Diterbitkan: Khamis 21 Jun, 2012

BEBERAPA minggu yang lalu, penulis telah berpeluang berkunjung ke sebuah institusi pengajian tinggi awam negara untuk menghantar anak saudara mendaftar sebagai pelajar baru.

Walaupun proses pendaftaran itu menyaksikan ibu-bapa atau anak perlu mengisi pelbagai jenis borang tetapi ia adalah satu proses pembelajaran yang sangat berguna kepada mana-mana keluarga pun.

Bagaimanapun pada masa yang sama, penulis juga berpeluang untuk menyaksikan beberapa peristiwa yang sangat menyedihkan. Sedih itu juga ada dua jenis.

Pertama sedih melihat ibu-bapa yang menangis kerana terpaksa berpisah (bagi yang pertama kali) dengan anak-anak khususnya jika anak itu adalah anak perempuan.

Kategori sedih yang kedua ialah apabila menyaksikan terdapat juga anak-anak yang menangis teresak-esak kerana tidak mahu atau mungkin juga tidak sanggup untuk hidup berdikari di dalam asrama buat pertama kalinya dalam hidup mereka.

Salah satu adegan yang sempat penulis saksikan ialah bagaimana si anak ini (perempuan) enggan tinggal di bilik asrama yang dikongsi bersama tiga lagi pelajar lain dengan alasan, dia tidak lagi memiliki privasi sebagaimana yang pernah dia nikmati sebelum ini di rumah.

Penulis menyaksikan bagaimana si bapa dan ibu terpaksa memujuk dan menyakinkan anak perempuan mereka bahawa ini adalah hakikat kehidupan dan perubahan hidup sebaik sahaja bergelar pelajar universiti. Mereka harus belajar hidup berdikari dan berkongsi kehidupan dengan rakan-rakan pelajar yang lain.

Selepas memberi ruang selama beberapa jam kepada sianak ini untuk berfikir semasak-masaknya, mereka akhirnya gagal juga untuk menyakinkan anak mereka agar menerima situasi ini seadanya.

Anak perempuan mereka mendesak agar membawanya pulang semula ke rumah. Dia tidak sanggup tinggal di asrama dan berkongsi bilik air dengan yang lain. Pendek kata dia tidak mahu melepaskan privasi yang selama ini dinikmatinya bertahun-tahun di rumah sendiri.

Ibu-bapa ini yang sememangnya bersungguh-sungguh melakukan persiapan terhadap anak tunggal perempuan mereka itu akhirnya terpaksa mengalah dan membawa anak mereka pulang semula ke rumah di Shah Alam.

Mereka kini berhasrat untuk mendaftar anak mereka di sebuah universiti swasta yang berhampiran dengan kediaman mereka supaya dia dapat berulang alik dari kampus ke rumah.

Tetapi sudah pastinya keputusan untuk mendaftar anak mereka di universiti swasta itu datang bersama kos yang sangat tinggi. Jika di institusi pengajian tinggi awam, yuran pengajian diploma satu semester hanyalah RM650 tetapi di universiti swasta, kosnya tidak kurang RM8,000 satu semester. Ini belum diambil kira kos sara hidup lagi.

Ramai ibu bapa yang tidak sedar hampir kesemua kos pengajian di institusi pengajian tinggi awam disubsidi oleh kerajaan. Pelajar atau ibu bapa hanya perlu membayar ala kadar sebagai komitmen minimum. Selebihnya kerajaan yang tanggung.

Untuk kos sara hidup pula, jika tidak memohon pinjaman PTPTN, jumlah wang yang perlu dikeluarkan oleh ibu bapa sebulan adalah antara RM500 hingga RM700 sebulan. Tapi kebanyakan pelajar akan memohon bantuan PTPTN dan diluluskan.

Apa yang penting di sini ialah anak-anak perlu diajar tentang erti berdikari dan mengharungi pahit getir hidup sendiri dan asrama di universiti adalah tempat yang sebaik-baiknya untuk belajar tentang kehidupan, tentang sikap dan tabiat orang lain dan untuk membangunkan ketahanan mental diri.

Ada baiknya juga anak-anak tidak sepanjang masa disuap dan diberi layanan istimewa hanya kerana mereka anak tunggal atau sepanjang masa dalam kehidupan mereka selama ini menikmati privasi kelas pertama.

SHAHARUDDIN SALLEH

Kuala Lumpur

iklan

iklan

Iklan