X Close

Tidak Mudah Lahirkan Anggota Polis

Diterbitkan: Khamis 21 Jun, 2012

Kelakuan harus dijaga supaya masyarakat tidak hilang hormat anggota Polis

SEKILAS pandang, terdetik dalam hati bergayanya penampilan anggota polis yang lengkap berpakaian seragam.

Namun pernahkah terlintas dalam pemikiran kita akan dugaan yang harus ditempuhi sebelum diisytiharkan layak mengenakan pakaian seragam biru tua itu?

Sebelum seseorang itu berhasrat menjadi anggota polis, mereka seharusnya memenuhi kelayakan akademik - sekurang-kurangnya SPM bagi konstabel, STPM/Diploma bagi inspektor dan ijazah pertama bagi penolong penguasa polis (ASP) Kemudian mereka perlu memenuhi syarat-syarat fizikal yang ditetapkan iaitu ketinggian sekurang-kurangnya 165 cm dan berat badan minimum 47.6 kg bagi calon lelaki dan 160 cm dan 46.2 bagi wanita.

Berat badan perlu sesuai dengan ketinggian supaya mereka barulah tampak lebih segak dan tegap.

Selain itu calon lelaki mestilah mempunyai ukuran dada sekurang-kurangnya 81 cm dan 86 cm apabila semasa menarik nafas selain mempunyai penglihatan jelas tanpa cermin mata, tidak rabun warna serta tiada kecacatan pendengaran selain diperakui sihat oleh Pegawai Perubatan Kerajaan dalam pelbagai aspek.

FASA LATIHAN

Pelatih-pelatih akan berkumpula di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) bagi melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran kepolisan.

Setelah kesemua syarat fizikal serta akademik dipenuhi, calon-calon akan menempuhi satu lagi cabaran dan rintangan selama enam bulan bagi jawatan konstabel dan sembilan bulan untuk jawatan inspektor di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) bagi melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran kepolisan.

Komandan Pulapol Kuala Lumpur SAC Zulkifli Mohamad berkata tempoh latihan di Pulapol akan membolehkan mereka menjalani transformasi fizikal dan mental untuk menjadi anggota polis.

“Dua atau tiga bulan pertama mereka akan didedahkan dengan bentuk-bentuk latihan polis yang mencabar termasuk senaman.

“Tujuan latihan sebegitu adalah untuk mendisiplinkan serta mendidik sebagai persiapan bagi memikul tugas polis,” katanya.

Beliau berkata fasa kedua adalah proses memberi pendedahan ilmu dan pengetahuan dalam semua bidang kepolisan.

“Kita akan memberikan latihan yang menumpukan pada konsep ‘Security and Safety’,” katanya dan menambahkata mereka juga dilatih untuk memberikan bantuan perubatan sementara menanti kedatangan ambulans.

Tambahnya bagi fasa ketiga pula calon-calon sekadar dipantau akan penguasaan mereka terhadap segala latihan yang mereka telah lalui pada fasa pertama dan kedua. Zulkifli berkata latihan fasa pertama adalah peringkat yang paling sukar kerana ia menguji kekuatan mental dan kesediaan mereka menurut perintah kepimpinan

“Contohnya mereka akan dikejutkan semasa tidur untuk melakukan apa-apa tugasan tanpa sebarang bantahan dan ia dilakukan mengikut keperluan,” katanya.

Pada masa depan, katanya, sebuah pusat latihan simulasi yang baru siap akan membantu meningkatkan latihan mereka bagi melaksanakan dengan berkesan segala tugasan kepolisan.

Salah satu demonstrasi yang dilakukan oleh angota Polis kepada orang ramai.

MENDEDAHKAN KEPADA KERJA SEBENAR POLIS

Dalam fasa terakhir latihan, mereka akan didedahkan kepada tugasan sebenar anggota polis.

“Mereka akan dihantar ke luar daerah... sebagai contoh konstabel akan ditugaskan mengawal sekatan jalan raya. Mungkin semasa sekatan itu mereka akan menahan anggota polis yang menyamar sebagai penjenayah, atau mereka yang berkelakuan biadap atau menghulurkan rasuah.

“Dari situ kita dapat menilai kejujuran pelatih itu serta kemampuan mereka dalam menangani kerenah orang awam dengan sabar.

Beliau berkata bagi pelatih inspektor, mereka akan terbabit dalam latihan ‘Investigating game’, dengan pelatih sebagai contoh diarahkan membuka kertas siasatan berhubung jenayah seperti pelacuran dengan ada indidvidu tertentu yang cuba memberi rasuah.

“Selepas ini kita akan cuba mencari kaedah lain untuk menilai integriti pelatih polis dan bagaimana ciri mulia ini diterapkan dari peringkat akar umbi,” katanya. POLIS

BERINTEGRITI

Zulkifli yang memegang tampuk Komandan sejak dua tahun yang lepas menyimpan hasrat untuk melihat anak didiknya di Pulapol menjadi anggota polis yang berintegriti.

“Berintegriti maksudnya bakal polis ini harus pandai menyesuaikan diri dengan keadaan contohnya bila berhadapan dengan penjenayah dan orang awam selain mereka harus nampak segak di luaran dan mulia daripada segi dalaman,” katanya.

“Mereka harus dilihat sebagai anggota yang berintegriti apabila mula bertugas kerana mereka adalah barisan hadapan penjaga keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Bagaimanapun, untuk melahirkan seseorang yang berintegriti pelbagai cabaran yang harus ditempuhi oleh jurulatih polis.

Para jurulatih ini perlu mengubah pelatih-pelatih daripada pelbagai latar belakang agama, bangsa dan pendidikan kepada anggota polis yang bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara.

“Dalam tempoh latihan mungkin akan berjaya mengubah sikap mereka kerana adanya pantauan namun apabila sudah tamat latihan mereka akan balik ke sikap asal kerana tiada pantauan lanjut,” katanya. Seterusnya beliau berkata apabila tamat latihan, anggota polis yang berpengalaman harus memainkan peranan memantau sikap anggota baru ini.

“Selepas tamat berkursus mereka telah memasuki alam pekerjaan, kelakuan harus dijaga supaya masyarakat tidak hilang hormat kepada mereka,” katanya.

PENGALAMAN BEKAS PELATIH

Seorang konstabel polis yang kini berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Muhd Azuan Azzeham, berkata latihan di Pulapol cukup mencabar namun diharungi untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang anggota polis.

“Dalam lima bulan pertama kami menjalani latihan jasmani, kawad dan menembak... bagi latihan jasmani sebagai contoh kami kena menepati had masa yang telah ditetapkan,” ujar anak sulong dari dua beradik itu.

Azuan, yang bapanya seorang sarjan polis yang telah bersara, berkata sebagai latihan intensif perlu untuk melahirkan anggota polis yang berdisiplin.-BERNAMA

iklan

iklan

Iklan