X Close

Kastam Sabah Rampas 90 Set Parabola Haram

Diterbitkan: Isnin 18 Jun, 2012

KENINGAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas 90 set parabola dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Masak, dekat sini, Isnin.

Timbalan Pengarah Kastam Negeri Sabah Hamzah Sundang berkata hasil maklumat orang awam, sepasukan pegawai penguat kuasa kastam Keningau yang diketuai Micheal Asik menyerbu rumah berkenaan pada 11.30 pagi.

"Hasil serbuan, pihak kastam merampas cakera parabola itu dengan anggaran harga termasuk cukai RM150,000, dan mengikut harga pasaran set parabola yang dirampas itu boleh mencecah RM225,000," katanya dalam kenyataan.

Hamzah berkata cakera parabola tergolong sebagai barangan larangan seperti yang terkandung dalam Jadual Kedua, Butiran 23 dan 24, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008 dan memerlukan permit import daripada Sirim Berhad.

Beliau berkata pihak kastam menahan seorang warga tempatan berusia 40-an bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan yang merupakan rampasan kedua dalam tempoh seminggu.

Bagi kesalahan itu suspek boleh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan