X Close

Ibu 24 Tahun Antara Lima Ditahan Disyaki Pengedar Dadah

Diterbitkan: Khamis 14 Jun, 2012

KUALA LUMPUR: Seorang ibu berumur 24 tahun antara lima yang ditahan dalam serbuan berasingan di ibu negara yang berakhir dengan rampasan dadah jenis ganja, syabu dan heroin bernilai hampir RM100,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Wan Abdullah Ishak berkata tiga orang, termasuk pasangan suami isteri, ditahan dalam serbuan pertama pada pukul 5.45 petang Selasa lepas di sebuah rumah pangsa di Sentul Pasar dan polis menemui ganja dalam ketulan mampat besar dan kecil seberat 8.856 kg.

Turut ditemui wang tunai berjumlah RM1,245.

Lelaki yang ditahan berumur 26 tahun bekerja dengan sebuah firma produksi swasta manakala seorang lagi lelaki ialah suami wanita itu berumur 31 tahun.

Pasangan tersebut mempunyai anak berusia dua tahun.

Dalam serbuan susulan, sejam kemudian, polis menjumpai ganja seberat 3.9 kg dan satu peket plastik yang mengandungi ketulan kecil kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 150 gram di kediaman berlainan di rumah pangsa yang sama.

Nilai ganja dan syabu yang dirampas dalam dua rampasan itu bernilai RM72,000.

Polis menahan seorang lelaki berumur 32 tahun dan menemui wang tunai berjumlah RM15,000 serta dua helai baju kalis peluru di rumah tersebut.

"Ujian air kencing juga mendapati mereka penagih dadah jenis ganja dan Eramin 5," kata Wan Abdullah.

Pada Rabu, polis menemui dua bungkusan dadah jenis heroin seberat 936 gram bernilai RM24,000 selepas menahan sebuah kereta jenis Myvi di Lorong Raja Uda, Kampung Baru pukul 8.25 malam.

"Dadah itu diletakkan di bahagian tempat duduk sebelah kiri. Seorang lelaki berusia 22 tahun turut ditahan dan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis morfin," katanya.- BERNAMA

iklan

iklan

Iklan