X Close

Jangan Tinggalkan Kampung Macam Tisha (Mentor 6)

Diterbitkan: Selasa 12 Jun, 2012

Tisha

ADOIII...

SAYA mengucapkan tahniah kepada Ella bersama protogenya, Puteri Caroline Mohd Kamel, 20, kerana kedua-dua mereka berjaya menggondol hadiah wang tunai RM100,000 selepas memenangi pertandingan Mentor pada 10 Jun (Ahad) lalu.

Kepada Ella... dah dapat RM100,000 tu harap-harap cukuplah nak buat belanja kenduri kahwin. Apa ditunggu lagi hahah...

Mentor sudah enam tahun diperkenalkan. Dan dalam tempoh itu tak ada seorang juara Mentor yang benar-benar berjaya. Yang popular sikit pun hanyalah Black sajalah. Itu pun sekarang dah nak suam-suam kuku.

Saya melihat, trend penganjuran program realiti sekarang hanyalah sekadar hiburan yang dicetuskan untuk menjana pendapatan menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Selepas itu, terpulanglah kepada seseorang artis untuk merancang bagaimana hendak meneruskan kerjaya mereka.

Cuma, terus terang saya katakan saya agak kurang berkenan apabila membaca kenyataan Tisha, peserta Mentor 6 yang terkandas sebelum ini.

Kata Tisha, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan kampung halamannya di Kelantan kerana mahu jadi seorang penyanyi. Rujuk pautan berikut: (http://mstar.com.my/cerita.asp?sec=mstar_hiburan&file=/2012/6/5/mstar_hiburan/20120604193231)

Maknanya, dalam erti kata lain dia yakin hidupnya akan berubah kalau dia jadi penyanyi.

Saya hanya tersenyum. Saya membayangkan setiap hari ada saja penyanyi baru muncul. Ada suara yang bagus dan ramai juga yang sumbang mambang.

Dan apabila Tisha membuat keputusan untuk tinggalkan kampung halamannya gara-gara hendak bergelar penyanyi syarikat rakaman, itu satu keputusan yang kurang tepat.

Tisha melihat dunia hiburan yang ingin diceburinya dalam konteks yang sempit.

Mengambil pendekatan untuk berhijrah kerana mahu menjadi penyanyi selepas terjebak dalam dunia glamor hanya dalam tempoh beberapa minggu melalui Mentor 6 bukan langkah yang tepat.

Ia sememangnya tidak wajar pun kerana pada hari ini untuk menjadi penyanyi yang mempunyai pakej lengkap, seseorang itu perlulah mempunyai cukup ilmu.

Apabila adanya ilmu, maka seseorang itu akan dapat memandu dirinya sendiri dengan sempurna tanpa rasa tertipu selain akan lebih mahir menempuh dunia hiburan yang kadangkala hanya indah khabar dari rupa.

Ilmu yang saya maksudkan ialah dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang yang dia minati pada peringkat yang lebih tinggi.

Keputusan meninggalkan Kelantan untuk tujuan itu akan menjadi lebih bermakna dan tentunya ia akan dapat dijadikan contoh oleh orang lain yang tergila-gilakan untuk bergelar penyanyi.

Kepada orang di luar sana, janganlah ikut langkah Tisha ini.

Kalau nak tinggalkan kampung halaman, tinggalkanlah untuk mencari ilmu secara profesional dan diiktiraf dan bukan hanya untuk menjadi seorang penyanyi.

Perlu diingat, bidang nyanyian di Malaysia ini bukannya macam di Hollywood. Silap-silap hari bulan yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula jatuh bertabur.

NIEZAM: Hanya penyanyi bilik air.

iklan

iklan

Iklan